” Jangan sampai sikap kita yang terlalu berhati-hati untuk memenangi undi, kita menyakiti hati dan menjadi musuh kepada bangsa sendiri. Ingat itu. Cukuplah ianya berlaku pada parti Melayu yang satu lagi.Tetapi bukan kita sebab itu bukan cara kita. 1Malaysia bukan menjadi musuh kepada sesiapa termasuk kepada bangsa Melayu sendiri. Dan Melayu itu pula bukan menjadi musuh kepada sesiapa, tetapi wujud dengan akar dan sejarahnya sejak sekian lama. Apabila Melayu menyebut 1Malaysia bukan bererti Melayu itu memusuhi bangsanya sendiri. Apabila Melayu menyebut tentang nasib bangsanya sendiri bukan bererti dia menjadi musuh kepada bangsa-bangsa yang sedia ada di bumi tercinta ini.Sesungguhnya 1Malaysia selari dengan perjuangan kita dan inilah pun yang telah dilakukan oleh para pemimpin kita sejak sekian lama dalam komponen BN. Semua orang tahu itu dan hanya orang yang buta sejarah akan menafikannya. Bangsa kita Melayu dan agama yang kita anuti Islam tidak tergugat sama sekali dengan adanya 1Malaysia.Tetapi Melayu yang menjadi bangsa kita dan Islam yang menjadi agama kita telah melembutkan hati kita, menjadikan kita orang yang sabar dan memiliki darjah tolak ansur yang sangat tinggi. Sebab itu jangan ada pihak yang ghairah berselindung di sebalik gagasan ini untuk menjadi musuh kepada bangsa Melayu.Melayu tak pernah mengambil hak sesiapa, tetapi Melayu terkenal sebagai pemberi dan akan memberi apa sahaja yang ada kecuali satu, iaitu maruahnya yang dipelihara dalam Perlembagaan Negara. Selagi perlembagaan yang sedia ada terpakai tiada sebab orang Melayu gusar tentang kedudukan dan hak-hak mereka. Orang Melayu dan sesiapa sahaja yang mencintai keadilan, kemakmuran bersama dan kedamaian hanya perlu bimbang jika perlembagaan itu bertukar kepada yang lain disebabkan pertukaran kerajaan.Sebab itu wahai bangsaku, perkukuhkan perpaduan dalam UMNO, sokong PERKASA untuk perkasakan UMNO dan mantapkan setiakawan dalam BN.Dalam hidup yang diciptakan banyak kekeliruan ini, anda wajib menjadi bijaksana untuk membezakan antara mereka yang memperkatakan tentang Melayu untuk memperkukuhkannya dan siapa pula yang berkata tentang Melayu tetapi dengan maksud untuk memusnahkannya,” GuruBashid