1. China dalam sejarahnya tidak pernah menyerang negara lain dan meluaskan sempadannya. Dalam kes Manchuria sebagai contoh serangan hanya dilakukan untuk mempertahankan sempadannya yang diceroboh bukan dengan tujuan perluasan kuasa.

2. Malahan lebih awal dari itu sekitar tahun-tahun 1400-1500-an dalam hubungan China dengan Melaka tidak nampak sebarang petanda negara yang kaya dengan rumpunan pokok bambu itu mahu menguasai Melaka dan meletakkan Melaka sebagai tanah jajahannya.

3. Hubungan China-Melaka adalah simbol hubungan persahabatan dan diplomatik dengan hasrat membantu sebuah negara kecil yang meminta sokongan untuk mengelakkan daripada ancaman luar (Siam).

4. Hubungan ini menggambarkan bagaimana selama ini dua negara ini amat mencintai keamanan bagi memastikan jalinan perdagangan dan persahabatan antara dua negara ini tetap terus terjalin serta perdagangan di negara masing-masing tidak tergugat oleh sebarang ancaman luar .

5. Dalam hubungannya dengan Jepun nasib orang Cina di perantauan bukanlah sentiasa baik. Mereka terpaksa berjuang mempertahankan nyawa mereka daripada ancaman Jepun. Inilah yang berlaku kepada orang Cina di Tanah Melayu dalam era pendudukan negara matahari terbit itu.

6. Meskipun Jepun dilihat adik kepada China dan berwajah lebih kurang serupa, namun Jepun tidak pernah memandang bangsa Cina di Malaysia dengan pandangan yang baik.

7. Bagi Jepun bangsa Cina di Tanah Melayu tetap menjadi ancaman lanjutan peperangan yang berlaku antara Jepun-China.

8. Dalam memastikan matlamat Asia for Asian tercapai Jepun di Tanah Melayu lebih percayakan orang Melayu berbanding Cina memandangkan bangsa Melayu diyakini lebih bersedia mempertahankan negara mereka dan menghalau penjajah British.Bukankah bangsa Melayu adalah pemilik sah Tanah Melayu dari segi sejarah dan geografi.

9. Berdasarkan kedudukan bangsa Melayu yang begitu berbanding orang Cina yang didatangkan dari China demi kepentingan ekonomi British tentulah hasrat Jepun untuk memerdekakan Tanah Melayu melalui slogan Kemakmuran Asia daripada orang putih lebih mudah tercapai dengan bantuan orang Melayu berbanding bangsa Cina.

10. Malahan ketika itu orang Jepun melihat orang Cina yang datang ke Tanah Melayu hanya kerana terdesak dek kesulitan kehidupan mereka di China yang dilanda kemarau dan kebuluran, bukan kerana kesetiaan mereka kepada Tanah Melayu.

11. Mereka dilihat oleh Jepun lebih mirip untuk menyokong British yang telah menolong mereka keluar daripada kemisikinan melalui peluang pekerjaan yang diberikan kepada mereka sebagai pekerja-pekerja di sektor perladangan dan perlombongan.

12. Tetapi selepas negara ini mencapai kemerdekaan melalui perpaduan yang ditunjukkan melalui gabungan pelbagai parti mewakili pelbagai bangsa ternyata sekali tanggapan orang Jepun terhadap bangsa Cina di Tanah Melayu itu tidak selamanya betul.

13. Selepas mendapat semangat kemerdekaan ditambah hasil usaha gigih pemimpin pelbagai parti dalam komponen Parti Perikatan yang kemudiannya bertukar menjadi Barisan Nasional maka jurang antara Melayu-Cina-India dirapatkan melalui usaha secara berterusan untuk menyusun semula masyarakat dan merapatkan jurang sosio-ekonomi antara kaum sebagaimana yang ditunjukkan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).

14. Walaupun negara China tidak dilihat menjadi ancaman kepada Malaysia sejak hubungan terjalin pada abad ke-15 lagi, atau mungkin lebih awal dari itu dengan kepulauan Melayu, namun dengan kedudukan bangsa Cina yang agak ramai di negara ini serta peranan aktif mereka sebagai warga negara Malaysia dalam bidang ekonomi dan politik, maka sedikit sebanyak hubungan China-Malaysia tidak dapat tidak tetap dilihat sebagai situasi yang bermakna dan amat penting.

15. Sekalipun generasi bangsa Cina yang datang ke Tanah Melayu melalui sistem sinkhih dalam era pemerintahan British telah pun meninggal dunia dan digantikan dengan generasi selepas itu yang sudah pun menjadi warga negara Malaysia, namun etnik Cina di negara ini tidak mungkin memutuskan begitu sahaja hubungan kekeluargaan dan darah dengan rumpun dan keluarga mereka di tanah besar China.

16. Atas alasan yang hampir serupa tidak mungkin negara China akan berlepas tangan terus daripada mencuri-curi untuk mengintai nasib bangsa mereka di sini.

17. Tidak mustahil juga ada di kalangan mereka yang sudah diiktiraf sebagai warga negara Malaysia menjual cerita yang tidak begitu tepat tentang Malaysia.Cerita tentang kebenaran perjuangan PKM oleh segelintir kita dan usaha membawa kembali bekas Ketua PKM, Chin Peng ke Malaysia menjelaskan kepada kita betapa Malaysia masih terdedah kepada cerita-cerita yang tidak betul mengenainya.

18. Dengan mengekalkan hubungan tradisi Malaysia-China dan sentiasa mahu memperbaharui dan menyegarkannya oleh pemimpin kedua-dua negara dari semasa ke semasa atas semangat menang-menang saya percaya tidak akan mewujudkan sebarang masalah besar dalam jalinan hubungan antara dua negara itu.

19. Selagi para pemimpin kedua-dua negara memahami sejarah dan tradisi hubungan antara dua negara ini dan meneruskan dasar buka pintu kepada perdagangan dan pelancongan yang menguntungkan rakyat serta menghormati keputusan bersama, rakyat di kedua-dua pihak dilihat tidak ada sebab akan mencurigai dan menodai hubungan yang telah terjalin sejak sekian lama.

20. Sebab itu dalam lawatan beliau ke luar negara selain Asia Tenggara, YAB Perdana Menteri memilih China sebagai destinasinya yang pertama. Lawatan itu telah mengingatkan kita kepada lawatan yang dilakukan oleh ayahandanya kira-kira 35 tahun yang lampau.

21.Tetapi bagi saya lawatan oleh YAB Perdana Menteri bukan sekadar mengulangi lawatan ayahanda beliau, tetapi menggambarkan betapa mengertinya kepemimpinan negara terhadap tradisi dan sejarah persahabatan China-Malaysia.

22. Inilah yang cuba dikekalkan oleh Malaysia dengan rakan perdagangannya yang keempat terbesar itu.

23. Sungguh pun China tidak pernah menunjukkan ancaman kepada sesiapa, termasuk dengan negara ini, namun di Malaysia kewujudan masyarakat Cina lebih-lebih lagi pada peringkat awal sering sekali dicurigai sebagai golongan yang akan memberi cabaran dan persaingan kepada bangsa-bangsa lain di negara ini terutama bangsa Melayu.

24. Kewujudan etnik Cina yang dikatakan bersemangat teguh, rajin bekerja dan kuat berpegang kepada kesatuan Cinanya seperti mana yang digambarkan melalui kewujudan kongsi gelap yang banyak menyebabkan di mana-mana pun mereka berada dan apa pun bidang yang diceburi akhirnya telah membawa kejayaan kepada bangsa bermata sepet itu.

25. Mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat dalam lingkungan pekerjaan dan geografi baru dan seterusnya mengambil ruang dan peluang yang ada di sekeliling mereka dengan pantas dengan cara yang penuh strategik.

26. Atas sebab itulah kita lihat di mana ada pelusuk muka bumi yang boleh dimasuki, terdapat orang Cina. Di kampong-kampung tradisi Melayu pun orang-orang Cina jauh lebih berjaya meskipun bilangan mereka tidak ramai.

27. Malahan kewujudan orang Cina di kampung-kampung tradisi Melayu banyak membantu orang Melayu khususnya dalam menyediakan barangan keperluan harian dan bertindak sebagai pembeli/pemborong kepada hasil kampong yang mereka keluarkan.

28. Orang-orang Cina di negara ini cukup bertuah kerana mereka mendapat rakan senegara yang terkenal dengan sikap baik hati.

29. Bangsa Melayu yang akhirnya bersedia menerima bangsa Cina sebagai rakan kongsi mereka di negara ini memang terkenal dengan sikap toleransinya yang tinggi dan kehalusan budi pekerti yang tiada tolok bandingnya.

30. Saya percaya nasib mereka yang bertuah ini banyak ditentukan oleh sikap orang Melayu yang seperti itu dan dasar-dasar kerajaan yang adil dalam membuka peluang kepada semua tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit.

31. Situasi seperi ini belum tentu mereka perolehi jika mereka berada di beberapa buah negara lain. Maka sebagai tanda berterima kasih memadailah kalau bangsa di mana kita berkongsi kuasa dengan mereka ini bersungguh-sungguh menjaga kepentingan mereka yang sedia ada tanpa mempertikaikan apa yang sepatutnya dimiliki oleh orang Melayu.

32. Isu-isu sensitif seperti isu yang berkaitan raja-raja Melayu, Parti Komunis Malaya dan pengiktirafan ke atas Chin Peng tidak patut dibangkitkan lagi memandangkan orang Cina di negara ini bukan lagi orang Cina yang mendatang itu tetapi mereka yang telah lama menjadi sebahagian warga negara Malaysia.

33. Sebagai warga negara Malaysia mereka sepatutnya faham akan kedudukan mereka dan kedudukan orang Melayu di negara ini sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan yang menjadi undang-undang tertinggi negara yang bersifat luhur dan patut dihormati.

34. Sejak kita mengiktiraf kerakyatan mereka secara jus soly, sesungguhnya orang Cina di negara ini tidak punya perlembagaan lain dan tidak juga punya negara lain.

35. Mereka berkongsi perlembagaan dan negara yang sama dengan orang Melayu, India dan suku kaum lain. Perlembagaan inilah satu-satunya yang menjadi perlembagaan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kestabilan dan keamanan.

36. Orang Melayu pula sepatutnya tidak lagi berasa terancam dengan kehadiran orang Cina di negara ini setelah hampir 52 tahun kita merdeka.

37. Jikalau tidak disebabkan ketamakan segelintir daripada kalangan kita yang selalu menangguk di air keruh dengan meniupkan api perkauman untuk meraih sokongan murahan, saya percaya rasa curigai mencurigai antara pelbagai kaum sudah lama terpadam.

38. Orang Melayu juga patut mempelajari sesuatu yang berguna daripada bangsa Cina yang sedia ada di bumi Malaysia. Kalau dahulu orang-orang Islam disuruh belajar hingga ke negara China sebagai suatu pengiktirafan terbuka kepada pencapaian China dalam beberapa bidang, tetapi sekarang orang Cina itu sudah ada di negara mereka.

39. Jadi tak perlulah lagi kita berbelanja besar dengan melakukan perjalanan beribu-ribu batu untuk berkunjung ke negara China jika semata-mata mahu mempelajari sesuatu kepandaian dan kemahiran daripada bangsa Cina, kecualilah untuk tujuan melancong, belajar dan perniagaan.

40. Bagi saya sendiri kejayaan bangsa Cina terletak pada ketahanan diri, kekuatan daya saing, kerajinan, kreativiti dan inovasi yang ada pada mereka dan yang mereka tonjolkan dalam setiap hasil kerja mereka.

41. Jika Jepun menghantar barangannya, di mana ada kawasan yang boleh dimasuki ada barangan Jepun, maka China pula menghantar bukan sahaja barangannya tetapi juga orang-orangnya.

42. Di mana ada kawasan yang boleh dimasuki, di situ ada orang-orang Cina dan ada barang-barangnya.

43. Dalam kes di negara Timur Tengah termasuk di Mekah dan Madinah sebagai contoh kita dapati China lebih cenderung untuk menghanrtar barang-barang mereka berbanding dengan orang mereka tetapi di kebanyakan negara di dunia seperti di negara kita dan Indonesia China lebih cenderung untuk menghantar orang-orangnya.

44. Ketika orang selesa bertukar-tukar fesyen dan berubah selera dengan cepat dalam suasana krisis ekonomi global yang semakin menekan, di mana peluang pekerjaan masih ada dan duit masih boleh dicari, barang-barang China dikatakan lebih menjadi pilihan berbanding barangan Jepun.

45. Barangan China seperti pakaian, aksesori, pinggan mangkuk dan peralatan komputer dan elektronik sungguh pun dikatakan tidak begitu tahan lama berbanding barangan buatan Jepun, namun barangan jenis itulah sekarang yang menjadi pilihan.

46. Walaupun terdapat kumpulan yang mementingkan kualiti pada harga yang berprestij namun golongan pengguna yang paling ramai masih didominasi oleh golongan yang berpendapatan kecil dan sederhana yang lebih suka membeli barangan yang jauh lebih murah.

47. Golongan pengguna majoriti ini hampir tidak peduli tentang ketahanan barangan ini di mana selepas membelinya 3 hingga 4 bulan terpaksa membuangnya dan membelinya semula dengan harga yang jauh lebih murah.

48. Walaupun sebagai pengguna mereka terpaksa menukar barangan itu hampir tiga hingga kali dalam masa setahun namun itu tidak menjadi halangan bagi mereka untuk berbuat demikian kerana jika dijumlahkan kesemuanya pun harganya masih jauh lebih murah berbanding membeli satu barangan berjenama yang mahal harganya.

49. Malahan dengan adanya barangan murah dari China ini ia telah membentuk satu tabiat baru bagi rakyat di negara ini iaitu keseronokan bertukar-tukar fesyen dengan cepat dan sentiasa bergaya dengan mengenakan barang yang sentiasa dilihat baru dalam satu tempoh masa yang terdekat.

Hakcipta Abd Bashid Harun