RASANYA semacam tidak kena jika saya tidak menulis tentang kemerdekaan negara yang genap usianya 50 tahun esok. Kemerdekaan bermaksud bebas daripada belenggu penjajahan. Itu maksud asalnya. Tetapi adakah selepas penjajah menyerahkan negara dan kuasa memerintah kepada rakyat tempatan penjajahan sudah tamat sama sekali. Bagaimana dengan penjajahan bentuk baru yang dinamakan penjajahan minda? Tidakkah legasi penjajah British masih tertanam kuat di kalangan sesetengah rakyat negara ini terutama dari sudut berfikir dan bersosial. British memang berjaya meninggalkan legasinya di sini. Legasi yang ditinggalkan oleh British di negara ini hampir-hampir sempurna berbanding di India, mahupun di negara jajahannya yang lain. Di negara lain kelihatannya mereka “menyaring” juga, tetapi di sini darjah tolak ansur kita dengan British cukup tinggi dan dalam tolak ansur itu kita nampaknya lebih banyak menerima sahaja. Apabila ini terjadi kita selalu bersikap berpura-pura jahat kepada British dengan melihat “penjajah British” sebagai pesalah untuk sepanjang hidup kita. Jika ada sahaja kelemahan yang berlaku walaupun sudah 50 tahun British meninggalkan kita, kita akan katakan ini salah British yang menjajah kita atau dengan nada yang lebih lembut kita buang kata British dengan berkata ini adalah kesan daripada penjajahan. Namun kita jarang-jarang melihat kepada sikap kita sendiri dan bagaimana kita melihat sesuatu. Ketidakmampuan pemimpin pada waktu itu mengurus tadbir negeri sebagai contoh menyebabkan sebahagian mereka lebih rela meminta bantuan asing. Nampaknya sebahagian mereka lebih selesa dengan cara ini. Dan pilihan itu ternyata berbaloi kerana British telah menunjukkan kemampuannya sebagai negara superior melalui pembentukan sistem pentadbirannya yang memang tidak boleh dipertikaikan. Kalau dahulu hak memungut cukai adalah hak Sultan dan pembesar sehingga mereka cukup berkuasa melakukan apa sahaja untuk mendapatkan cukai itu, kini British melantik pegawai pemungut cukainya sendiri yang menerima gaji tetap. Hak sultan dan pembesar memungut cukai sudah hilang, tetapi mereka dibayar gaji daripada hasil pungutan cukai itu. Begitu juga sistem perhambaan, dihapuskan sama sekali. British seolah-olah memberitahu kita bahawa cara kamu mengurus tadbir negeri selama ini adalah salah, dan sekarang aku ingin tunjukkan cara yang betul bagaimana mentadbir sebuah negeri (atau negara). Ternyata sekali British memang berupaya melakukannya-bersistem, terurus dan cekap atau lebih tepat menggantikan apa yang dinamakan kuasa mutlak kepada demokrasi. Majoriti rakyat nampaknya lebih suka dengan cara British ini daripada cara sebelum ini, walaupun sebahagian pembesar menentang pembaharuan British. Saya tidak jelas sebab sebenar pembesar Melayu menentang British, tetapi hampir kesemua yang menentang telah kehilangan kuasa sama ada jawatan, hak memungut cukai atau hak penerokaan ke atas tanah secara bebas.












1 user commented in " Legasi British "
Follow-up comment rss or Leave a Trackbackanti spam sudah diaktifkan..saya harap tiada sebarang masalah lagi selepas ini.
Leave A Reply