1 YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia memang hebat. Beliau tidak cuba lari daripada realiti, tetapi menghadapinya dengan penuh yakin, berani dan sentiasa bersiap siaga.

2 Beliau memperaku bahawa keadaan telah banyak berubah di mana ada yang kita pakai sekarang sudah tidak sesuai lagi pada zaman sekarang dan perlu ditukar dengan yang baru atau membuangnya sahaja.

3 Yang penting bagi Perdana Menteri Malaysia keenam itu ialah usaha-usaha yang perlu dibuat untuk menghadapi perubahan itu.

4 Sebagai Perdana Menteri yang melalui pelbagai pengalaman daripada kepimpinan beberapa orang Perdana Menteri sebelumnya, beliau tidak nampak menyediakan alasan demi alasan, sebaliknya membuat persiapan yang sepatutnya.

5 Beliau jarang-jarang menyalahkan pembangkang, sebaliknya menyediakan segala kekuatan pada UMNO,Barisan Nasional dan kerajaan.Tuduhan ke atas beliau, isterinya dan kerajaan yang dipimpinnya lebih kerap dan lebih besar ketimbang yang lalu, tetapi itu semua tidak menjadikan beliau berkeluh kesah, melatah, patah semangat dan mengalah.

6 Satu kelebihan yang beliau miliki ialah beliau tidak menjawab serangan dengan serangan, tuduhan dengan tuduhan. Beliau melawan pembangkang bukan dengan menyakiti mereka kembali atau menyerlahkan keburukan pembangkang atau di sebalik hujah-hujah retorik, sebaliknya mengetengahkan kemampuan sendiri melalui pelbagai program transformasi kerajaan, parti dan ekonomi.

7 Beliau seolah-olah mahu mengajak rakyat melihat sendiri dan seterusnya menilai apa yang kerajaan telah dan sedang buat untuk mereka, bukan sekadar menyogokkan halwa yang menyedapkan pendengaran mereka sahaja.

8 Berdasarkan tindak tanduk beliau, ternyata Perdana Menteri sekarang tidak bergantung kepada kata-kata manis dan bersemangat sebaliknya bertunjangkan usaha-usaha yang dilakukan dan natijah-natijah yang ditinggalkan.

9 Beliau seorang yang realisitik, melihat dunia dengan penuh sedar dan berpandangan positif sambil melakukan praktis-praktis tertentu.

Hakcipta Abd Bashid Harun