Mereka hanya mahu menang, sedangkan apa yang mereka lakukan semuanya menuju kehancuran.Bukan sahaja ke atas parti mereka sendiri, tetapi juga kepada negeri yang mereka tadbir.

Apa yang mereka alami sekarang bukan berpunca daripada orang lain, tetapi akibat buatan tangan dan mulut mereka sendiri.Inilah akibatnya apabila seseorang itu terlalu mendominasi lidah daripada tindakan.

Mereka percaya kepada mahkamah hanya sebelum mahkamah membuat keputusan. Sebab itu mereka mendahului mahkamah dalam membuat keputusan yang konon-kononnya akan menyebelahi mereka dengan kemenangan 5-0, 4-1 atau sekurang-kurangnya 3-2.

Tetapi apabila mahkamah yang mulia yang dibarisi hakim yang arif memutuskan sesuatu yang tidak mahu mereka dengar atau tidak mereka harapkan, mereka terus mencurigai mahkamah dengan berkata yang keputusan telah boleh dijangka dan dirancang.

Mereka mahu menujukan ungkapan ini kepada lawan mereka, tetapi sebenarnya itu menggambarkan diri mereka sendiri. Merekalah sebenarnya yang sudah punya perancangan dan memiliki semua skrip untuk itu.

Jika mereka ditakdirkan menang, mereka akan menggunakan skrip A dan jika mereka kalah mereka akan menggunakan skrip B.Skrip A di poket kanan mereka dan skrip B dalam poket kiri mereka.

Selain itu, setiap kali mereka terhimpit mereka akan menggunakan “rakyat” sebagai alasan, tetapi mereka terlupa sebahagian besar daripada rakyat yang pernah menyokong mereka itu kini sedang menilai mereka dan bersedia menghukum mereka dalam PRU13 nanti.

Tetapi seperti biasa walau apa pun keputusannya, mereka tetap melompat-lompat dan menjerit-jerit yang konon-kononnya rakyat masih menyokong mereka.

Keghairahan untuk mengembalikan kuasa yang ditarik Tuhan ketika belum mencapai puncak kepuasan setelah baru 11 bulan memerintah menjadikan mereka terlupa banyak perkara.

Keadaan sudah berubah, tetapi mereka masih mendendangkan lagu kemenangan seperti orang Mongol yang menari-nari di sekeliling unggun api mengenang kemegahan silam bangsa mereka yang memenangi peperangan.

Setelah kecewa dengan keputusan yang tidak menyebelahi mereka, mereka mahu menggunakan mahkamah rakyat pula. Kononnya rakyat yang telah memberikan kemenangan kepada mereka 3 tahun yang lalu masih memihak kepada mereka.

Mereka beranggapan sesuatu itu tidak akan berubah, sedangkan mereka sendiri sudah beberapa kali berubah.

Sebenarnya yang mereka maksudkan dengan mahkamah rakyat itu bukannya menyerahkannya semula kepada rakyat, tetapi merujuk kepada mahkamah yang mereka bangunkan sendiri.Mana mungkin jenis mereka ini percaya kepada mana-mana mahkamah, kecuali yang dibangun sendiri.

Mereka sendiri sudah kehilangan keyakinan sama ada rakyat akan menyebelahi mereka atau tidak. Kata-kata mereka tentang rakyat dan mahkamah rakyat hanyalah untuk menghiburkan hati mereka yang sebenarnya sedang berdukacita atas nasib yang timpa menimpa ke atas parti mereka dan parti rakan-rakan mereka.

Hakcipta GuruBashid