Pada 14 September yang lalu bertempat di R & R Batu 2 ½ Jalan Simpang yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Changkat Jering, berkedudukan kira-kira 3 kilometer dari bandar bersejarah, Taiping, telah berlangsung upacara penyerahan biasiswa dan bantuan kepada pelajar-pelajar dalam zon Parlimen Bukit Gantang yang berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian awam dan swasta di pelbagai peringkat pengajian.

Dermasiswa dan bantuan pengajian itu disumbangkan oleh Yayasan Perak. Ini bukanlah kali pertama majlis seumpama itu dilangsungkan. Begitu juga ini bukanlah kali pertama Yayasan Perak berbuat demikian, tetapi ia adalah lanjutan kepada siri-siri bantuan sebelumnya.

Majlis penyerahan dermasiswa dan bantuan yang dilaksanakan serentak sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat di kawasan Bukit Gantang itu telah disempurnakan oleh YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran,Pengajian Tinggi,ICT,Sumber Manusia,Sains dan Teknologi negeri Perak.

Dalam ucapan beliau yang penuh bersemangat dan padat dengan maklumat itu, beliau mengingatkan hadirin bahawa peruntukan untuk bidang pendidikan dalam belanjawan 2011 adalah yang terbesar dan merupakan 40% daripada jumlah peruntukan keseluruhan.

“ Ini bererti kerajaan persekutuan telah membelanjakan RM40.00 setiap RM100.00 atau RM400.00 setiap RM1000.00.Ini suatu jumlah yang sangat besar yang sekaligus membuktikan bahawa kerajaan memang memberi keutamaan kepada pendidikan rakyat Malaysia. Inilah yang telah dilakukan oleh kerajaan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan,” tegasnya.

Menurut beliau lagi banyak negara yang kaya dengan hasil bumi, yang sebahagiannya pernah muncul negara yang hebat suatu ketika dahulu kini begitu mundur disebabkan kurangnya pendidikan dalam kalangan rakyatnya.

“ Saya telah berkesempatan melawat banyak negara semasa saya bekerja dengan Petronas dahulu, dan saya dapati ada negara yang kemudahan sekolah dan pusat pengajiannya begitu uzur. Tidak seperti sekolah-sekolah dan pusat pengajian di negara kita yang jauh lebih lengkap, dan lebih sempurna dengan pelbagai kemudahan yang canggih,”tambahnya.

“ Kita patut bersyukur menjadi warganegara kepada sebuah negara yang makmur dan maju seperti Malaysia. Para pelajar di negara ini boleh belajar dalam keadaan aman dan selamat, walhal di negara tertentu nak makan pun susah,”.

“ Bukan sahaja makanan tak cukup tetapi makanan yang nak disuap pun belum tentu sampai ke mulut disebabkan terkena tembakan peluru musuh. Berbeza dengan di sini, kita boleh pergi ke sekolah dan pulang ke rumah dengan aman tanpa perlu bimbang akan ancaman musuh di jalan-jalan,” katanya lagi.

Ekoran daripada keadaan Malaysia yang aman dan makmur itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kamunting menasihati pelajar agar menggunakan nikmat keamanan dan kemewahan yang Tuhan berikan ini dengan cara belajar bersungguh-sungguh.

“ Sebagai pelajar, beri tumpuan kepada aktiviti belajar.Jangan sibukkan diri dengan perkara-perkara yang tidak ada kaitannya dengan pelajaran.Fokus kepada kerja utama anda, iaitu belajar, insya-Allah anda akan berjaya,” harapnya.

Menurut beliau lagi, disebabkan tumpuan kepada bidang pendidikan tidak diambil berat di beberapa buah negara di dunia akibat kemunduran sebagaimana yang sepatutnya, menyebabkan tidak ramai cerdik pandai dan golongan profesional yang berupaya dilahirkan.

Kesannya negara mereka tidak dapat dimajukan. Kekayaan yang ada tidak dapat diteroka dan dimanfaatkan secara optimum berpunca daripada rakyatnya yang tidak maju dalam bidang pendidikan.

Ini berbeza sekali dengan rakyat Malaysia di mana kerajaan memang sentiasa mengambil berat terhadap sektor pendidikan. Usaha ini bukan sahaja dilakukan oleh kerajaan pusat melalui kementerian pelajaran, malahan kerajaan negeri seperti kerajaan Perak dan badan-badan tertentu seperti Yayasan Perak.

” Kualiti pendidikan di negara ini begitu tinggi sehingga diperakui oleh dunia. Ramai rakyat negara ini, terutama golongan profesional diambil bekerja di banyak negara di dunia.Mereka memuji kualiti pengetahuan, hasil kerja dan kecekapan pengurusan yang ada pada rakyat Malaysia yang bekerja di negara mereka,” jelas Zahir.

Sambil memuji usaha Yayasan Perak yang tidak putus-putus membantu pelajar negeri ini bagi memudahkan mereka melanjutkan pelajaran di pelbagai peringkat sama ada di dalam negeri mahupun di luar negara, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid juga menyeru ibu bapa dan anggota masyarakat mengambil tanggungjawab untuk membantu dan memberikan sokongan kepada kejayaan murid-murid di negeri ini.

“ Pelajar dalam usahanya untuk berjaya dalam pelajaran perlu mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk oleh ibu bapa, masyarakat dan kerajaan. Pelajar tidak boleh dibiarkan melalui hari-hari penting yang bakal menentukan masa depannya secara bersendirian tetapi perlu diberi perhatian dan bantuan.”

“ Bagi pihak kerajaan negeri dan Yayasan Perak, biasiswa, dermasiswa dan bantuan yang kita berikan pada hari ini dan sebelumnya adalah untuk semua murid yang berhak tanpa mengira bangsa dan aliran politik,” tambahnya.

Justeru beliau mengharapkan agar bantuan yang diberikan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk tujuan pendidikan. Nasihat beliau kepada pelajar yang menerima bantuan, apabila sudah menjadi orang yang berjaya kelak jangan lupa mengembalikannya dalam bentuk kesetiaan dan sokongan yang dberikan kepada pihak yang membantu termasuk kerajaan.

“Agama dan budaya kita mengajar seseorang untuk berterima kasih kepada yang pernah memberi. Caranya mudah, berikan perkhidmatan terbaik kepada negara apabila tamat pengajian nanti di samping menyokong usaha murni yang dilakukan oleh kerajaan,” ujarnya lagi.

Dicatat oleh Abd Bashid bin Harun