1 Semenjak PERKASA ditubuhkan saya sentiasa mengikuti setiap perkembangan pertubuhan itu termasuk meneliti ucapan pemimpin nombor satunya, Ibrahim Ali.

2 Saya juga tidak ketinggalan mengikuti polemik pemimpin PERKASA itu dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum ini.

3 Walaupun sehingga kini Tuhan masih belum membuka pintu hati saya untuk menjadi ahli kepada pertubuhan Melayu bukan politik itu, namun ini bukan bererti saya menolak semua tindakan PERKASA dan menerima bulat-bulat apa yang orang lain kata terhadapnya.

4 Saya pernah melahirkan rasa tidak puas hati kepada Ibrahim yang berpolemik secara terbuka dengan Ketua Pemuda UMNO (KLIK DI SINI) serta beberapa pandangannya yang saya kira agak terlalu ke hadapan dan terlalu terbuka mengenai apa yang perlu dibuat untuk penyatuan Melayu, (KLIK DI SINI) namun saya tidak bersetuju jika ada orang Melayu sendiri menghindari PERKASA hanya disebabkan kenyataan beberapa pemimpinnya.

5 Sekalipun 13 parti komponen BN termasuk UMNO mengambil keputusan untuk menjauhi PERKASA, namun saya berharap pendirian UMNO itu hanyalah dalam komponen BN untuk berdepan PRU ke-13 akan datang.

6 Namun atas pendiriannya sebagai sebagai sebuah parti per se yang menjadi organisasi politik terbesar umat Melayu dan dalam ruang lingkup menjaga kepentingan bangsanya sendiri, saya masih berharap agar pendirian BN itu tidak meluas kepada UMNO.

7 Keadaan ini sama sahaja apabila MIC dalam ruang lingkup partinya sendiri yang mahu menjaga kepentingan bangsa berketurunan India dan pendirian parti MCA dalam menjaga kepentingan bangsa Cina di negara ini.

8 Saya rasa hal ini amat perlu difahami dengan jelas dan dapat dibezakan oleh pemimpin UMNO apabila berdepan dengan orang Melayu sendiri dan apabila menjawab pelbagai rasa tidak puas hati parti komponen kepada perkara-perkara yang menyangkut kepentingan Melayu dan agama Islam itu sendiri.

9 Memandangkan yang mempengerusikan mesyuarat pada hari itu ialah Setiausaha Agung UMNO, bukan Presiden UMNO, orang ramai, khususnya orang Melayu yang menjadi ahli UMNO mahukan penjelasan daripada Dato’ Seri Najib sendiri.

10 Bagi saya jika ada yang perlu diperbetul dalam PERKASA, bukan pada pertubuhan itu sendiri tetapi cara berfikir dan bertindak pemimpinnya.

11 Kenyataan untuk menghindari PERKASA termasuk oleh UMNO sendiri dalam mesyuarat tersebut perlu mendapat penjelasan lebih lanjut oleh Dato’ Seri Najib sendiri untuk menghapus rasa resah orang Melayu yang masih belum faham apa kegunaan PERKASA dan apa bentuk hubungan yang patut berlaku antara UMNO dengan pertubuhan tersebut.

12 Adakah kenyataan SU Agung UMNO dalam mesyuarat tersebut bermaksud menghindari UMNO hanya untuk tujuan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 atau arahan itu bermula dari sekarang dan dalam semua keadaan?

14 Bagaimanakah keadaannya apabila PERKASA menjemput pemimpin UMNO untuk merasmikan majlis atau menyampaikan ucapan anjuran mereka? Adakah pemimpin UMNO perlu menghindarinya?

15 Bagaimanakah pula halnya jika ada cawangan atau bahagian atau sayap UMNO yang hendak menjemput AJK atau ahli PERKASA untuk menyampaikan ceramah atau ucapan dalam majlis yang dianjurkan. Semuanya perlu penjelasan lanjut daripada Dato’ Seri Presiden UMNO sendiri.

Hakcipta Abd Bashid Bin Harun