Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,
Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri,
Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri,
Memandangkan penggunaan kata Islam pada parti PAS tidak menggambarkan tindak tanduk yang sepatutnya sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran Islam, malahan pemakaiannya lebih memudaratkan apabila tindak tanduk sebahagian pemimpin pertubuhan itu yang diluahkan melalui perbuatan, ucapan dan tulisan turut memberi gambaran buruk kepada agama Islam, maka saya dengan ini mendesak pihak lembaga fatwa untuk melihat dan menyemak semula fatwa mengenai penggunaan nama Islam pada mana-mana pertubuhan.
Memandangkan niat awal untuk melihat pertubuhan yang menggunakannya berjalan selari dengan landasan Islam tidak berlaku lagi, adalah wajar kata islam pada parti PAS digugurkan serta merta.
Malahan saya juga mendesak pihak kerajaan agar menggugurkan penggunaan nama Islam pada mana-mana parti politik termasuk pada parti PAS memandangkan kewujudannya sangat mudah dimanipulasi untuk kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu sehingga mengetepikan kepentingan yang lebih besar iaitu agama, bangsa dan negara.
Malahan timbul keadaan yang meragukan dan juga membahayakan apabila orang sudah tidak tahu lagi membezakan antara perbuatan individu dalam sebuah parti politik dengan perbuatan seorang individu muslim sehingga semua perbuatan parti itu dikaitkan dengan Islam.
Pada pandangan saya jika PAS ikhlas, pengguguran nama Islam daripada parti itu tidak akan menghalang parti itu untuk meneruskan perjuangan mereka sebab bukan nama yang menjadi kekuatan tetapi niat dan matlamat yang disasarkan.
Saya percaya itu adalah cara terbaik bagi PAS dan bagi seluruh ahli parti itu untuk terus bergerak dalam arus politik negara tanpa terjatuh kepada tuduhan yang lebih buruk pada masa akan datang dengan adanya penggunaan nama Islam pada parti itu.
Sesungguhnya nama PAS tetap boleh dikekalkan sebab huruf Alif yang ada pada kata PAS itu masih boleh digunakan untuk kata-kata lain selain Islam dan huruf A yang terkandung dalam parti itu memang tidak signifikan langsung dengan kata Islam kerana yang lebih tepat digunakan ialah huruf I.
Perlembagaan, undang-undang dan segala peruntukan yang ada di negara ini hendaklah digunakan sepenuhnya bagi menghalang sebarang tindakan dalam apa jua bentuk yang menjurus ke arah pengeliruan, penyelewengan dan perlanggaran ke atas ajaran Islam yang suci demi memelihara Islam dan kerukunan hidup penganutnya yang telah dinikmati sekian lama di negara ini.
Kerajaan melalui agensi-agensi yang terbabit mesti lebih peka dan lebih serius menangani isu-isu yang mencemarkan nama baik Islam dan penganutnya, Sebarang rupa bentuk tindakan yang boleh memecahkan perpaduan sesama umat Islam dan antara umat islam dengan penganut agama lain hendaklah dihalang serta merta sebelum ke adaan menjadi lebih parah.
Kerukunan hidup dan batasan peraturan antara ruang dan hak orang Islam dengan orang bukan Islam hendaklah sentiasa dipelihara dan dihormati. Sesungguhnya Islam dan umatnya ada sempadan dan batasan tertentu yang kekal terpelihara, yang tidak boleh diambil mudah oleh mana-mana pihak.
Sekian, terima kasih.
Abd Bashid bin Harun











No user commented in " Kenyataan: Nama Islam Mesti Digugurkan Serta Merta Daripada Parti PAS "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply