1 Pengumuman kerajaan untuk membenarkan kaum guru dari kategori DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik mulai Ogos ini telah disambut dengan pelbagai reaksi.
2 Ada yang menyambutnya dengan perasaan berbelah bahagi. Ada juga yang menyambutnya dengan perasaan bimbang. Dan tidak kurang juga yang menyambutnya dengan rasa gembira.
3 Di kalangan yang bukan guru pula ada yang mempersoalkannya, mengapa guru sahaja yang diberikan kebenaran tersebut, sedangkan kebenaran yang sama tidak diberi kepada semua penjawat awam.
4 Yang kurang faham dan agak ketinggalan zaman pula bertanya, mengapa guru siswazah sahaja dibenarkan berpolitik. Tetapi bagi saya apa pun reaksi yang diberikan oleh orang ramai, kerajaan tentu mempunyai jawapan yang kukuh tentang perkara ini.
5 Sebagai kumpulan profesional yang tidak memegang kuasa eksekutif dan tidak terlibat dalam pembuatan dasar kerajaan serta skop kerja mereka yang lebih tertumpu kepada pendidikan anak-anak sejak kecil, guru dikira kumpulan penjawat awam yang paling tepat mendapat kebenaran itu.
6 Penyertaan kaum guru dalam bidang politik bukanlah perkara baru. Sejarah negara menunjukkan betapa besarnya sumbangan golongan guru yang terlibat dalam bidang ini khususnya dalam memperjuangkan nasib bangsa, umat Islam, rakyat dan negara ini. Yang lebih hebat peranan yang mereka mainkan cukup berkesan dan perjalanan politik ketika itu menjadi begitu bersih di tangan mereka.
7 Apa yang sebenarnya berlaku sekarang ini ialah kebenaran itu diperluas kepada guru-guru siswazah dari kategori DG41 hingga DG48 memandangkan cabaran yang dihadapi negara semakin besar dan global yang tentunya memerlukan individu lebih berilmu dan lebih profesional untuk mengendalikannya.
8 Maknanya dalam apa jua situasinya sekarang kaum guru harus bersedia untuk dirujuk dan menjadi “guru” kepada kerajaan dan parti yang mereka sertai. Mereka kini bukan sahaja diperlukan di sekolah, tetapi juga oleh parti yang mereka sertai, masyarakat, kerajaan dan negara.
9 Bagi diri saya sendiri, saya menerima keputusan kerajaan ini dengan perasaan penuh insaf, berbaur terharu dan rasa penuh tanggungjawab. Kadang-kadang ada juga perasaan takut-takut, kalau-kalau hasrat kerajaan dengan pemberian kebenaran itu tidak dapat ditunaikan oleh para guru yang terlibat.
10 Sebagai pendidik yang mendokong kerajaan sedia ada sejak sekian lama melalui wadah UMNO dan BN serta telah memutuskan untuk turut bergiat aktif dalam bidang politik sejak 2006 melalui medium blog, saya jadikan kebenaran ini sebagai suatu suntikan motivasi yang akan lebih mendorong saya untuk terus berkarya melalui cara saya sendiri.
11 Perasaan ini saya zahirkan bukan kerana kebenaran berpolitik yang diberikan per se, tetapi peranan dan sumbangan yang dapat saya dan golongan pendidik lain berikan kepada kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Barisan Nasional.
12 Saya cuba memahami bukan sahaja hasrat tersurat, tetapi juga hasrat tersirat kerajaan di sebalik kebenaran yang diberikan itu dan apakah harapan yang diletakkan oleh kerajaan ke atas bahu para guru dalam membantu mereka membangunkan negara dan rakyat melalui saluran pendidikan.
13 Saya percaya kebenaran yang diberikan ini bukan suatu keputusan yang mudah dan popular yang pernah dibuat oleh kerajaan, tetapi tentulah setelah diambil kira pelbagai faktor dan melihat impaknya kepada kerajaan untuk jangka sederhana dan panjang.
14 Jadi saya melihat pihak kerajaan di sebalik kebenaran yang diberikan ini menuntut daripada kaum pendidik suatu sokongan dan dokongan yang melebihi daripada tahap biasa. Maka sebagai membalas budi, para guru harus memberikan hanya pemikiran dan saranan yang terbaik kepada pihak kerajaan yang telah memberikan apa yang sebahagian besar pendidik mahukan selama ini.
15 Saya tidak melihat kebenaran ini sebagai cara untuk berseronok-seronok atau suka-suka. Jauh sekali untuk membuat tuntutan mahupun tekanan ke atas pihak kerajaan. Bukan juga sekadar meriuhkan kantin sekolah atau kedai kopi dengan debat yang tak berkseudahan.Jika cara-cara politik seperti ini masih digunakan di sebalik kebenaran berpolitik, keadaan tidak banyak berubah daripada sebelumnya iaitu politiking akan terus berlaku, bukan berpolitik dalam erti kata yang sebenarnya.
16 Para guru tidak wajar mengambil mudah bidang politik yang mereka menjadi pendokongnya dan menganggap bidang politik ini terpisah daripada ruang lingkup pendidikan. Sebab itu beberapa kali dalam tulisan saya, saya tegaskan pendirian tentang perkara ini. Saya mahukan politik yang selari dengan aspirasi dan hala tuju pendidikan agar apa yang kita telah garap dalam sistem pendidikan negara benar-benar dapat dihayati dan diamalkan oleh ahli-ahli politik.
17 Kita telah belajar perkara-perkara yang betul dan baik semasa di bangku sekolah melalui sistem pendidikan yang kita gubal sendiri atas keperluan negara kita. Oleh itu tiada sebab kita harus lari daripada nilai-nilai yang ada di dalam pendidikan apabila kita memilih untuk menceburkan diri dalam bidang politik atau lebih melampau dari itu menjadi musuh kepada pendidikan.
18 Bidang politik yang dicerminkan oleh sikap dan peranan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli politik pada semua peringkat wajar bergerak di atas ril pendidikan yang kaya dengan ciri-ciri sakral dan nilai-nilai terpuji di dalamnya.
19 Politik yang lari daripada aspirasi dan hasrat yang cuba disemai melalui sistem pendidikan yang telah dilalui selama beberapa tahun bermula di sekolah rendah, di sekolah menengah dan di pusat pengajian tinggi adalah politik yang jauh daripada roh yang akhirnya hanya akan memakan diri sendiri.
20 Justeru guru yang berhasrat mahu melibatkan diri dalam bidang politik dan memohon kebenaran melakukannya mestilah dengan tujuan yang suci dan melalui jalan yang suci juga. Mereka tidak boleh menyertai politik dengan untuk mencari salah sesiapa dan jauh sekali untuk menjadi juara hingga sanggup menjadi musuh kepada negara sendiri.
21 Atau dalam erti kata lain, jika kaum guru mahu berpolitik mereka mesti berpolitik secara profesional, penuh matang dan bijaksana. Jangan sampai penglibatan mereka dalam bidang politik mewujudkan lebih masalah kepada sekolah; berkrisis dengan majikan dan mengamalkan politik popular untuk meraih kepentingan peribadi.
22 Maka untuk mengekang daripada politik sebegini, ciri-ciri positif yang ada dalam bidang pendidikan dan nilai- nilai murni di dalamnya wajar dijadikan dasar dalam membuat sesuatu keputusan. Dan guru harus tahu apakah keutamaan mereka yang juga menjadi bidang tugas utama mereka di mana kerana itu gaji dan emolumen mereka dibayar.
23 Landasan politik yang diceburi oleh para guru dan kerajaan yang mereka dokong dan sokong bukanlah alasan untuk membenarkan mereka melakukan sesuatu secara sewenang-wenangnya. Bidang politik yang mereka ceburi dan kerajaan yang mereka dokong bukan juga menjadi perisai yang akan menutup semua kebejatan yang mereka lakukan jika ada.
24 Jika ini akibatnya daripada kebenaran yang diberikan, kerajaan tidak mendapat apa-apa faedah daripadanya. Ketika kerajaan membenarkan guru-guru berpolitik kerajaan tentu tidak mahu mereka meyusahkan kerajaan kembali. Jangan sampai anda ter[aksa menjadi musuh kepada kerajaan yang anda sokong hanya disebabkan penyalahgunaan kebenaran yang diberikan itu.
25 Para guru harus sedar bahawa politik yang mereka ceburi hanyalah sekadar menuntut mereka untuk menjadi seorang guru yang lebih bertanggungjawab dan penuh bermakna kepada bangsa dan negaranya serta bersedia menawarkan apa jua bantuan dan sumbangan kepada pihak kerajaan.
26 Daripada diri guru yang dilihat sebagai seorang yang jauh lebih berakal, lebih matang dan lebih berilmu sebenarnya dituntut suatu pemikiran, saranan dan cadangan yang jauh daripada kadar biasa. Mereka harus berkeupayaan menelah tentang apa yang bakal berlaku pada masa depan berdasarkan perkiraan masa kini dan seterusnya melontarkan idea-idea strategik kepada kerajaan dengan bahasa yang paling baik dan paling berkesan yang termampu olehnya.
27 Tentunya tuntutan atau pemberian yang dibuat dengan kemarahan, syak wasangka dan berniat jahat mesti dielakkan sama sekali agar kerajaan benar-benar menerima hanya yang terbaik dan ikhlas daripada guru-gurunya demi mempastikan perjalanan negara dan rakyatnya tidak diolah dengan cara yang salah.
28 Ternyata sekali peranan guru dalam membantu dan memandu kerajaan membina sebuah negara bangsa yang maju serta bermaruah bukannya kecil.
29 Sesungguhnya jika negara diolah dengan cara yang salah dan lari daripada perlembagaan negara sebagai undang-undang tertinggi negara yang bersifat luhur gurulah yang terawal yang harus membetulkannya.
30 Kaum guru tidak boleh dilepaskan begitu sahaja memandangkan merekalah yang telah memberi warna kepada anak bangsa sejak dari tunasnya sehinggalah mereka menjadi pemimpin.
31 Kebenaran yang diberikan kepada guru untuk berpolitik membuktikan yang kerajaan sedar bahawa guru harus membantu dan memandu mereka pada setiap masa tetapi tentulah dengan pendekatan pendidikan yang penuh profesional dan terpuji.
32 Dalam memastikan hasrat murni kerajaan di sebalik membenarkan guru berpolitik itu tercapai, akal para guru mesti diletakkan di hadapan emosi dan perasaan. Mereka bukan sahaja mampu memberikan pandangan yang bitara dan berkesan, tetapi mereka juga boleh menerima pandangan orang lain dengan fikiran yang lapang dan terbuka.
33 Mereka bukan sahaja bertindak sebagai kumpulan peminta, tetapi mereka juga turut mampu memberikan sumbangan yang berfaedah. Tegasnya mereka harus berkelakuan seperti seorang profesional.
34 Tegasnya tidak semestinya seseorang guru itu berpolitik melalui jawatan yang mereka pegang, sebaliknya banyak ruang yang boleh digunakan oleh mereka untuk membantu kerajaan membangunkan rakyat dan negara ini. Bagi saya sendiri, biarlah jawatan politik itu dipegang oleh orang lain. Dan saya sendiri lebih selesa dan bahagia untuk terus mendokong dan menyokong kerajaan sedia ada melalui cetusan idea dan pemikiran melalui penulisan dalam blog. Inilah yang saya lakukan selama ini.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Kebenaran Untuk Guru Berpolitik: Bagaimana GuruBashid Memahaminya "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply