1 Jika yang lain-lainnya menulis dari sudut pandangan politik masing-masing GuruBashid pula lebih cenderung untuk menulis daripada hati kecilnya sendiri. Tak kiralah sama ada yang ditulisnya itu perkara yang berkaitan pendidikan mahupun politik.
2 Penulisan GuruBashid tidak ditentukan oleh apa yang orang mahu baca sahaja, tetapi tulisan yang orang cuba mengelak untuk membacanya juga akan menjadi penulisan beliau jika itu perlu ditulis.
3 Bagi penulis memisahkan diri daripada penulisan berbaur politik bererti memisahkan sesuatu yang telah menjadi kepercayaan beliau selama ini. Anda boleh memisahkan GuruBashid daripada makanan kegemaran beliau tetapi bukan dengan sesuatu yang telah menjadi kepercayaannya.
4 Sebelum ini GuruBashid pernah menulis beberapa artikel yang berkaitan dengan gagasan 1Malaysia. Antaranya 1Malaysia: Bukan Segalanya Menjadi Satu, 1Malaysia: Ulasan, Cadangan dan Harapan, Perlukah Sebuah India Kecil Dalam 1Malaysia Sedia Ada, 1Malaysia: Penawar Pun Dia Racun Pun Dia, Ulasan Awal Saya Mengenai Sekolah Satu Aliran,Demi 1Malaysia:Najib Bersedia Menjadi Tidak Popular dan Memahami Gagasan 1Malaysia Bersama GuruBashid.
5 Tulisan-tulisan ini mungkin dilihat oleh ramai orang betapa terujanya GuruBashid mengenai gagasan ini dan sekaligus menunjukkan yang beliau tidak mahu ketinggalan dalam membantu pihak kerajaan dalam menjelaskan konsep ini kepada rakyat.
6 Dalam kemeriahan kita bersama-sama kerajaan melaung-laungkan gagasan 1Malaysia sambil cuba memahami intipatinya, jauh di sudut hati, saya tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang saya dengan apa yang mungkin berlaku di sebalik gagasan besar ini ke atas bangsa saya sendiri, iaitu Melayu dan agama yang mereka anuti, iaitu Islam.
7 Gagasan untuk penyatuan ini memang sangat murni tujuannya dan tiada sesiapa yang patut membantahnya, namun masalah yang selalu bermain di kepala saya ialah bagaimana Melayu akan mendapat manfaat yang lebih besar daripadanya atau lebih tepat lagi tidak terhimpit atau terpinggir daripada gagasan ini.
8 Lebih terus terang lagi yang dimaksudkan ialah implikasi gagasan ini kepada rakyat Malaysia berketurunan Melayu. 1Malaysia memang sebuah gagasan yang mudah disebut, tetapi melaksanakannya tidak semudah menyebutnya apabila bangsa-bangsa yang ada di Malaysia masih belum berada di garisan permulaan (starting line) yang sama. KLIK DI SINI
9 Selain keperluan kepada darjah tolak ansur yang begitu tinggi antara kaum, proses pelaksanaan 1Malaysia juga memerlukan kebijaksanaan dan tahap penelitian yang tinggi agar tidak ada mana-mana rakyat Malaysia yang berasa tersinggung di suatu pihak dan terancam di suatu pihak yang lain.
10 Semua rakyat tanpa mengira kaum mahu diri mereka dilayan sebagai orang nombor 1 dan tidak ada antara mereka yang mahu diberikan layanan yang berbeza.Setiap tindakan kerajaan sekarang ini tidak dapat lari lagi daripada penilaian serta-merta daripada rakyat berbilang kaum di negara ini.
11 Tafsiran umum yang tidak dapat dielakkan mengenai 1Malaysia ialah apa orang yang lain dapat mereka juga patut dapat. Sebagai contoh jika kerajaan memberi perhatian kepada masyarakat di Jalan Brickfield, Kuala Lumpur, kerajaan juga diharapkan dapat memberi perhatian yang sama kepada masyarakat di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan tidak ketinggalan juga kepada masyarakat di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
12 Saya tidak tahu apakah tafsiran seperti itu yang menjadi pegangan kerajaan Malaysia dalam merealisasikan 1Malaysia, tetapi itulah cara rakyat kebanyakan melihat dan harapkan. Jika kita meneliti apa yang kerajaan buat di ketiga-tiga tempat yang saya sebutkan tadi jelas itulah tindakan popular yang terpaksa kerajaan lakukan sekarang ini.
13 Namun apa pun yang berlaku saya melihat gagasan 1Malaysia ini lebih ghairah disambut oleh bangsa bukan berketurunan Melayu berbanding bangsa Melayu sendiri kerana secara tradisinya merekalah yang lebih smart dan strategis dalam menghidu peluang sebab majoriti mereka adalah golongan peniaga.
14 Justeru 1Malaysia tidak dapat tidak boleh sahaja digunakan dengan pelbagai niat, termasuk sebagai senjata untuk membuat tuntutan berlebih-lebihan di suatu pihak dan boleh juga menjadi igauan buruk kepada satu pihak lagi yang masih belum sempurna segala-galanya.
15 Dalam keadaan begitu 1Malaysia mungkin dilihat meriah pada orang lain, tetapi disambut dengan perasaan bercampur-campur oleh bangsa Melayu dan bumiputera yang sebenarnya masih belum jelas apakah implikasi gagasan itu kepada ekonomi dan masa depan mereka.
16 Suara-suara yang double standard yang mahukan setiap orang yang misikin dibantu, tetapi pada masa yang sama meminta subsidi ditarik balik telah mula kedengaran dengan lantang.1Malaysia dilihat sebagai wadah yang cukup baik untuk membuat tuntutan seperti itu yang sekaligus merupakan satu ujian kepada kepemimpinan sedia ada.
17 Ketika rakyat Malaysia bukan Melayu mahu mengambil peluang seluas-luasnya daripada kewujudan gagasan ini, rakyat Malaysia berketurunan Melayu dan bumiputera lebih banyak diam, tetapi mengambil pendekatan memerhatikan dengan teliti apa yang akan dilakukan oleh DS Mohd Najib bin Tun Haji Abd Razak selaku Perdana Menteri Malaysia dan tokoh yang bertanggungjawab mengemukakan gagasan 1Malaysia ini.
18 Walaupun tujuan DS Mohd Najib dapat dibaca dengan jelas sejak awal lagi iaitu untuk menyatupadukan masyakarat Malaysia dengan pendekatan yang lebih drastik setelah melihat apa yang berlaku sebelumnya jika tiada perpaduan konkrit, namun bangsa Melayu masih samar-samar bagaimana konsep 1Malaysia berupaya dilaksanakan tanpa mengorbankan atau menyisihkan mereka.
19 Di tengah-tengah kita ingin mengembalikan keyakinan kaum bukan Melayu kepada kerajaan dan parti, ramai juga yang bimbang dan takut-takut kalau-kalau nasib dan masa depan Melayu semakin terhakis dalam gagasan besar ini. Inilah harapan yang dikemukakan dalam senyap oleh bangsa Melayu di negara ini untuk melihat masa depan mereka tetap terpelihara. Sayugia diingat gagasan 1Malaysia dikemukakan ketika usaha-usaha dibuat untuk membantu orang Melayu masih berjalan.
20 Sebagai bangsa yang nilai-nilai tradisinya diperakui dalam perlembagaan melalui empat nilai utama yang tumbuh subur sekian lama dalam masyarakat Melayu, iaitu kedudukan raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan keistimewaan orang Melayu, bangsa Melayu meletakkan harapan bahawa apa pun dasar kerajaan, dasar itu tetap menguntungkan mereka.
21 Malahan bangsa Melayu yang merasakan parti bukan lagi yang dapat diharapkan sepenuhnya membantu mereka, kini beralih kepada NGO dengan menyandarkan satu-satu yang masih ada iaitu perlembagaan yang diharapkan akan menyelamatkan mereka dalam apa jua keadaan.Sebahagian mereka membina rasa selamat yang palsu dengan adanya perlembagaan sedemikian.
22 Perlembagaan inilah juga alasan yang pernah ditekankan oleh DS Mohd Najib Tun Razak apabila wujud kebimbangan di kalangan orang Melayu mengenai nasib mereka dalam gagasan ini. DS Mohd Najib meyakinkan rakyat bahawa gagasan 1Malaysia tidak akan membelakangkan perlembagaan dan perlembagaan masih menjadi rujukan utama dalam apa jua usaha kerajaan. Penegasan DS Mohd Najib itu nampaknya dapat meredakan sedikit kebimbangan itu.
23 Tetapi kini kebimbangan itu muncul kembali dengan adanya tuntutan demi tuntutan yang lebih agresif daripada bukan Melayu melalui gagasan ini. Malahan kemunculan suara yang meminta agar subsidi ditarik balik sedangkan sebelumnya mereka juga yang menuntut agar kerajaan menolong atau membantu golongan tidak berkemampuan turut meresahkan bangsa Melayu.
24 Perkembangan yang berkaitan dengan agama dan kepercayaan mereka sendiri seperti isu kalimah Allah yang berjaya dibawa ke mahkamah serta keputusan membenarkan perkataan God diberi maksud Allah baru-baru ini turut menambahkan kebimbangan orang Melayu dan penganut agama Islam di negara ini betapa perlembagaan yang yang bersifat luhur dan melindungi agama Islam sebagai agama rasmi selama ini seolah-olah sudah terdedah kepada pertikaian umum dan tidak boleh diharapkan lagi sebagai tempat pergantungan utama.
25 Ini belum termasuk suara-suara yang terang-terang mempertikaikan keputusan mahkamah, tuduhan terhadap mahkamah yang konon-kononnya tidak adil, kata nista yang terang-terang memperlekehkan raja-raja Melayu dan banyak lagi yang semua ini menampakkan yang bangsa Melayulah yang terpaksa menerima tekanan demi tekanan ini.
26 Saya faham betapa sulitnya kerajaan di bawah kepemimpinan DS Mohd Najib merungkai kekusutan ini, umpama diluah mati emak dan ditelan mati bapa.
27 Jika ada suara yang lebih berbunyi Melayu sekalipun sekadar menyatakan hak-hak yang sedia ada dalam perlembagaan dengan mudahnya akan ditanggap sebagai rasis sehingga dilihat “keadaan menjadi semakin sulit” bagi orang Melayu bercakap tentang diri mereka sendiri.
28 Saya percaya ramai bangsa Melayu yang mahu bercakap mengenai diri, agama dan masa depan mereka sendiri terpaksa melupakannya dan kalau melakukannya pun melakukannya dengan penuh kebimbangan dan sangat berhati-hati walaupun dalam platform sendiri agar tidak terjatuh dalam perangkap rasis yang sudah sedia terpasang ada dengan adanya 1Malaysia ini.
29 Inilah nasib yang telah berlaku kepada Datuk Nasir Safar di mana niat murninya dan semangat patriotiknya telah memerangkap diri beliau sendiri. Saya percaya bukan Datuk Nasir Safar sahaja yang akan terperangkap, malahan akan ada lagi yang akan mengalami nasib yang serupa jika tidak dilakukan dengan sangat hati-hati.
30 Maka belajar daripada apa yang berlaku ke atas Datuk Nasir Safar saya mengesyorkan YAB DS Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, selaku Perdana Menteri Malaysia yang tercinta yang nasib rakyat, termasuk nasib bangsa Melayu telah ditakdirkan Tuhan ditentukan oleh beliau, berupaya menerangkan sejelas-jelasnya dan meyakinkan bahawa 1Malaysia sebenarnya tidak sampai menyisihkan bangsa Melayu.
31 Adalah perlu satu garis panduan yang jelas mengenai kedudukan ekonomi, agama dan kebajikan bangsa Melayu termasuk yang berkaitan dengan kedudukan raja-raja Melayu diperincikan dalam gagasan 1Malaysia itu agar semua orang tahu senarai boleh dan tidak boleh yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dan ke atas orang Melayu agar tiada lagi kekaburan, kesangsian dan perlanggaran hak-hak ekslusif bangsa Melayu dan agama Islam serta tidak ada lagi individu yang terperangkap seperti yang dialami oleh Datuk Nasir Safar.
32 Peribahasa umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tak tumpah adalah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan betapa kerajaan cukup berhati-hati dalam melaksanakan tindakan-tindakannya dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk seperti Malaysia yang ciri kemajmukan dan kepelbagaian itu sendiri merupakan bom jangka yang sudah tersedia dan akan meletup pada bila-bila masa sahaja jika tersilap langkah.
33 Walaupun rambut yang di dalam tepung itu tidak berguna dan perlu disingkirkan, namun rambut itu mesti ditarik dari dalam tepung dengan penuh hati-hati supaya rambut itu tak putus dan tepung tak berselerakan. Tentunya tepung yang dimaksudkan ialah tepung yang masih dalam bentuk serbuk, belum diuli dan menjadi doh. Jika ia sudah diuli, dijadikan doh dan dimasak ia sulit untuk disingkirkan lagi.Ia dianggap sudah terlewat.
34 Peribahasa ini turut menunjukkan elemen yang boleh merosakkan atau mengotorkan sesebuah organisasi atau institusi perlu disingkirkan lebih dahulu walaupun yang melakukannya hanya seorang atau beberapa orang atau hanya dalam bentuk kesalahan yang paling kecil sekalipun.
Hakcipta Abd Bashid Harun











3 users commented in " Ke Arah 1Malaysia: Semua Tindakan Umpama Menarik Rambut Dalam Tepung "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackOrang Melayu dibuai angan-angan UMNO
“Malaysia yang dulunya Tanah Melayu telah dijajah berkurun lamanya. Pejuang-pejuang silih berganti untuk menuntut kemerdekaan dari penjajah. Sekarang Malaysia yang telah bebas dari penjajahan barat tapi masih dijajah dengan ideologi dan fahaman barat.
Perlembagaan yang dibentuk berlandaskan kehendak penjajah, didaulatkan oleh pemimpin-pemimpin yang tamakkan kebendaan tanpa rasa segan dan silu.
Mereka terus mendendangkan janji-janji dan tanamkan angan-angan pada minda orang-orang Melayu agar menyokong mereka. Mereka katakan hanya UMNO yang mampu untuk perjuangkan nasib orang-orang Melayu, mereka janjikan berbagai keistimewaan pada orang-orang Melayu. Akikatnya itu hanya janji-janji dan angan-angan sahaja. Mana hilangnya rizab tanah Melayu? Mana pergi biasiswa untuk anak-anak Melayu? Siapakah penghuni-penghuni pusat-pusat serenti? Siapakah yang memiliki gudang-gudang dan tanah-tanah berekar-ekar?
Melayu terus dibuai dengan janji-janji dan angan-angan UMNO, mereka kata UMNO membela Islam sebagai agama rasmi. Mereka nafikan hukum-hukum yang terdapat dalam Al Quran. Mereka gunakan adat-adat sebagai perisai untuk terus mengaburi mata. Mereka dan jauk-juak mereka terus bermaharaja dengan kekayaan Malaysia. Orang-orang Melayu hanya mendapat tempias dari sedikit kemajuan material. Mereka akan agih-agihkan kekayaan sesama mereka. Orang-orang Melayu terus dinafikan, royalti hanya untuk UMNO. Mereka akan mengatakan perjanjian-perjanjian yang pernah dibuat sebagai nostagia semata-mata. UMNO terus membayangi Melayu yang runtuh akhlak, mereka terus meleka orang-orang Melayu dengan hiburan. Mereka lupakan orang-orang Melayu dengan Islam, mereka puja pemimpin-pemimpin yang zalim dan jahat.
UMNO sudah hampir ke penghujung jalan, mereka sudah semakin buntu dengan keadaan. Tiada kebaikan yang dapat diserlakan, kepincangan dan keaiban semakin hari semakin tertayang. Setiap langkah semuanya menjadi salah. Semua orang-orang Melayu ingin dibeli dengan nilai ringgit, mereka lupa kekuatan manusia ada batasnya. Janji-janji dan angan-angan semakin terlihat kepalsuan, tanah-tanah dah mula tergadai, biasiswa sudah jadi pinjaman dan orang-orang Melayu terus menjadi kuli di tanahair sendiri. Mereka hanya mampu menumpang di rumah-rumah tiada tanah, di pinggir-pinggir kota sebagai setinggan. Orang-orang Melayu terus dilanyak oleh UMNO bila tiba masa pemilihan. Terus dengan janji-janji dan angan-angan…BANGUN Bashid….BANGUN Bashid….BANGUN Bashid…sebelum anda ‘ditidurkan’ buat sementara.
GuruBashid:
Terima kasih kerana meluahkan perasaan walaupun sebahagian besarnya hanyalah sangkaan dan agakan. Insya-Allah semakin lama prasangka akan berkurangan dan digantikan dengan tindakan pembetulan ke atas diri sendiri dan kumpulan yang disertai. Sama ada yang berangan-angan itu orang Melayu yang pembangunan fizikal dan spiritualnya dibuat oleh UMNO bersama BN atau oleh lawan UMNO (BN) yang belum dilihat jasanya tetapi tak habis-habis politiking sepanjang zaman. Siapa sebenarnya yang berangan-angan dan dibuai mimpi, sama ada Melayu di bawah parti praktikal seperti UMNO bersama BN atau Melayu di bawah percikan air liur PAS bersama pakatan yang belum bersepakat tunggulah PRU ke-13. Tetapi kena sabar sikitlah sebab selagi tak cukup lima tahun PRU tak boleh dibuat. Di situlah nanti jawapan akan diketahui siapa yang akan terus berangan-angan untuk memerintah negara ini dan yang mana pula serius mahu memerintah dan mengekalkan tradisi pembangunan di negara ini. Tapi dalam tempoh itu, nasihat saya berhati-hatilah dalam lisan, perbuatan dan agenda supaya orang dapat menilai siapa yang cakap serupa bikin dan siapa pula yang lebih cakap daripada bikin.Yang pasti UMNO dan BN akan terus bekerja dan bekerja tanpa menunggu musim pilihan raya. Wakil-wakil BN walaupun kalah akan dihubungi dan dipohon bantuan walaupun tidak berkuasa di tempat itu. DS Najib terus dengan program dan aktiviti membela rakyat.
Salam kenal Pak Guru Bashid.
Saya juga guru di Pontianak.
Tulisan2 di blog bapak bagus.
Senang bisa belajar disini
GuruBashid:
Salam kembali buat Nurita. Terima kasih. Saya kira bahasa saya tidak begitu cocok dengan bahasa di Indonesia. Tapi jika anda boleh memahaminya, syukur. Itu sudah bagus. Salam saya buat kenalan di sana. Bawa mereka ke blog saya.
Najib sampai ucapan dasar pada Konvensyen UMNO Pahang
KUANTAN 18 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan ucapan dasarnya ketika merasmikan Konvensyen UMNO Pahang di Bandar Jengka, Kuala Krau, esok.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Najib yang merupakan Presiden UMNO akan menyentuh pelbagai isu yang berkisar kepada semangat 1Malaysia dalam ucapan dasarnya itu.
Bagaimanapun, jelas beliau, ucapan dasar dan konvensyen itu akan diadakan secara tertutup.
”Intipati ucapan dasar Presiden parti akan menyentuh soal agama, pendidikan, politik, ekonomi dan media baru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik 1Malaysia di Kampung Padang Jaya dekat sini hari ini.
Beliau menganggarkan seramai 1,500 ahli dan pemimpin UMNO termasuk daripada sayap parti akan hadir pada konvensyen yang berakhir Ahad ini.
”Penutupan konvensyen ini akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Presiden parti pada Ahad ini,” katanya.
Leave A Reply