MASALAH orang tua dan orang muda sebenarnya bukan isu baru. Dari dahulu lagi masalah ini kadang-kadang terdengar juga. Semasa Saidina Ali bin Abi Talib k.w.. dikatakan mengharapkan jawatan khalifah selepas kematian nabi, beliau dikatakan masih muda untuk memikul tanggung jawab sebesar itu. Tetapi apabila Saidina Ali menjadi khalifah selepas kematian saidina Othman, khalifah ar-Rasyidin yang ketiga orang mengatakan Ali sudah tua untuk jawatan itu.
USAMAH bin Zaid r.a. ketika dihantar oleh Rasulullah s.a.w. untuk memikul jawatan panglima perang menyerang Rom baru berumur 17 tahun. Ramai di kalangan orang tua tidak berpuas hati kerana menurut mereka mengapa dilantik orang yang masih hingusan, sedangkan ramai lagi di kalangan sahabat nabi yang berpengalaman dalam medan peperangan. Antara yang tidak bersetuju dengan tindakan Rasulullah s.a.w. itu ialah Saidina Umar al-Khattab.
SAIDINA Othman bin Affan dikatakan menaiki takhta ketika berusia 70 tahun. Dikatakan 6 tahun pertama pemerintahannya negara dalam keadaan baik, tetapi 6 tahun kemudian, keadaan negara semakin gawat. Alasannya Saidina Othman r.a sudah cukup tua untuk berhadapan dengan semua masalah di dalam negara.
TERNYATA isu tua dan muda bukan perkara pokok, tetapi hanyalah perkara yang sengaja diisukan oleh satu pihak yang tidak berpuas hati dengan pihak yang satu lagi. Ia adalah permainan orang yang hanya ada isu tetapi ketiadaan isi. Ia adalah sebagai tindak balas daripada satu pihak lagi yang tidak bersetuju dengan tindakan pihak yang satu lagi.
RASULULLAH s.a.w. mengajar penganutnya melihat kepada kebolehan dan bakat seseorang bukan kepada faktor usia. Rasulullah s.a.w. memilih Abu Bakar as-Sidik r.a. untuk bersama-samanya ke Yathrib kerana kesetiaan yang ada pada Abu Bakar yang mengatasi kesetiaan sahabat-sahabat yang lain. Walaupun masih ada keluarganya yang terdekat tetapi dalam hal yang sebegini Abu Bakar adalah orangnya; orang yang setia dalam susah dan senang dan pandai menyimpan rahsia.
SAIDINA Ali k.w. pula dipilih untuk menggantikan Rasulullah s.a.w. di tempat tidurnya; dalam satu situasi yang cukup kritikal yang mendedahkan diri beliau kepada maut. Tentu situasi begini bukan mudah diterima oleh ramai orang. Sebabnya Saidina Ali k.w. ada keberanian mengatasi para sahabat yang lain. Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Bukan Faktor Usia "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply