1 Ketika sudah banyak sekolah menyerahkan beberapa peranan penting kepada pelajar-pelajarnya untuk mengendalikan majis-majlis rasmi sekolah, masih ada sekolah yang terpaksa berpuas hati dengan guru sendiri yang berperanan dalam majlis-majlis tersebut.

2 Antara peranan yang boleh diserahkan kepada pelajar ialah sebagai pengacara majlis, pembaca do’a, menyampaikan ucapan, bersajak, berpantun dan menyampaikan pidato/syarahan.

3 Biarlah peranan itu diambil sepenuhnya oleh pelajar seperti dalam Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan, Hari Anugerah Kokurikulum, Sambutan Hari Guru, Hari Kantin, Gotong Royong Perdana, Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam, Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Majlis Persaraan Guru.

4 Dalam Sambutan Hari Guru sebagai contoh sepatutnya majlis itu telah pun dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar dari peringkat prapelaksanaan lagi hinggalah kepada pengisian dan pengendaliannya kerana cara itu lebih tepat bagi menggambarkan penghargaan sebenar para pelajar kepada guru-guru mereka.

5 Setakat ini kalau ada pun peranan yang agak menonjol yang diberikan kepada pelajar ialah semasa Perhimpunan Rasmi Mingguan. Namun program pengisian di dalamnya seperti ucapan, ceramah dan tazkirah masih ditentukan dan dimonopoli para guru.

6 Bagi saya sendiri, penurunan kuasa kepada para pelajar untuk mengendalikan majlis-majlis seumpama itu mesti lebih meluas dan tidak terbatas dalam acara yang melibatkan pelajar sahaja. Saya mahu melihat sampai satu peringkat semua acara sekolah kecuali yang benar-benar dikhususkan kepada guru dikendalikan oleh pelajar.

7 Itu tentunya lebih bermakna dan lebih signifikan dengan matlamat pendidikan itu sendiri. Sebabnya pelajar sebagai calon pemimpin, pekerja dan anggota masyarakat pada masa depan perlu didedahkan dengan pelbagai ilmu, pengalaman dan kemahiran tentang pengendalian majlis lebih awal sebelum mereka benar-benar berfungsi dalam masyarakat dan organisasi yang diceburi.

8 Atas nama peribadi, orang mungkin melihat bahawa betapa hebatnya guru-guru tertentu dalam sesuatu majlis sekolah seperti menjadi pengacara majlis, pembaca do’a, bersajak dan berucap. Tetapi sebagai guru yang tugas utamanya membimbing dan mendidik pelajar-pelajarnya, itu sudah menjelaskan kegagalan anda sebagai guru.

9 Bagi saya sendiri tidak ada kepuasan sebenar selagi tidak melihat pelajar kita sendiri yang mengendalikan sesuatu majlis rasmi. Tetapi semua ini tentulah dengan bimbingan dan penyeliaan guru. Jika pelajar yang dilatih itu berjaya melakukannya kita berhak untuk berasa bangga dan menarik nafas puas sebab itu adalah hasil buah tangan kita sendiri berbanding jika kita sendiri yang melakukannya.

10 Sebagai guru kita patut bertanya kepada diri sendiri sampai bila kita harus berpuas hati dengan apa yang sedang berlaku. Sampai bilakah guru harus mempengerusikan majlis, membacakan do’a, menyampaikan ucapan atau tazkirah sedangkan semua acara itu boleh diperturunkan kepada pelajar.

11 Hanya atas alasan takutkan majlis tersebut rosak atau berjalan tidak seperti yang diharapkan jika diserahkan kepada pelajar, kita pun berterusan mahu mengendalikannya dan membiarkan pelajar tanpa didedahkan dengan sebarang pengalaman dalam mengendalikan acara berkaitan.

12 Yang berjaya melakukannya itu anda, bukan murid-murid anda. Apalah yang hendak dibanggakan sangat jika guru yang berjaya mengendalikan majlis tersebut. Sebabnya mudah. Bukankah anda seorang guru yang memang kena melakukannya dengan cara yang terbaik. Jika anda melakukannya dengan teruk buruk sangatlah kelihatannya. Namun jika pelajar kita melakukan sedikit kesilapan boleh sahaja dimaafkan sebab mereka sedang mengalami proses pembelajaran.

13 Tak kanlah daripada beratus-ratus atau beribu-ribu pelajar anda di sekolah, tidak seorang pun yang boleh ditampilkan dalam majlis-majlis rasmi sekolah.

14 Apabila kita mahu memberikan sesuatu peranan kepada pelajar, itu bukan pula bermaksud yang kita wajar berlepas tangan. Cara seperti itu tidak akan memberikan apa-apa pendidikan kepada pelajar. Kita wajar membimbing, memimpin dan menunjuk cara yang betul kepada mereka bagaimana menyusun atur majlis, mempengerusikan majlis, membaca do’a yang terbaik, menyampaikan tazkirah, ucapan dan lain-lain yang berkaitan dalam sesuatu majlis.

15 Atas alasan itu tentulah kita sebagai guru yang bertanggungjawab dan peka dengan apa yang berlaku tidak akan membiarkan sesuatu itu berlaku tanpa sebarang pembetulan. Sebagai contoh, do’a yang dibaca terus berlaku kesalahan wal hal do’a yang sama telah diulang baca beberapa kali dalam perhimpunan mingguan. Bukankah di sekolah ada guru agama yang mahir tentang ibadat dan bahasa Arab yang boleh membetulkannya?

16 Begitu juga halnya apabila pengawas/pelajar mempengerusikan sesuatu majlis. Adakah kita peka dengan apa yang mereka sampaikan hingga kita dapat mengesan satu persatu kesalahan yang dilakukan. Jika kita sedar kesalahan itu memang berlaku, adakah kita akan terus membiarkannya tanpa dibuat sebarang pembetulan seolah-olah kita langsung tidak peka dengan apa yang sedang berlaku?

17 Banyak rupanya tugas kita sebagai guru, selain melakukan tugas utama kita iaitu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di dalam kelas. Termasuk tugas kita ialah membentuk mereka menjadi generasi masa depan yang berguna untuk diri sendiri, masyarakat, agama dan negara.

Hakcipta Abd Bashid Harun