1 Semalam saya bercakap kepada ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Majlis Ketua Tingkatan (MKT), dan pada hari ini pula saya bercakap kepada ahli lembaga pengawas sekolah.
2. Mereka merupakan pemimpin pelapis yang masih muda belia yang ciri-ciri kepemimpinan mereka sedang dibentuk di sekolah.Lebih ramai yang ditonjolkan sebagai pemimpin di peringkat sekolah adalah lebih baik. Kita seolah-olah memberi peluang kepada mereka untuk mengasah bakat kepimpinan mereka sejak dari awal lagi dan memberi ruang secukupnya kepada mereka yang masih hijau ini membantu pihak sekolah dalam kadar kemampuan mereka.
3. Jika boleh, saya mahu lebih ramai lagi yang menjadi pemimpin di peringkat sekolah. Tentulah tidak semua yang dapat diangkat sebagai pengawas sekolah. Sebahagiannya mungkin boleh menjadi pengawas pusat sumber, sebahagian yang lain sebagai pengawas buku teks, pengawas kantin, pengawas perabot dan bebarapa jenis pengawas yang lain.
4. Inilah bentuk pengiktirafan yang patut kita berikan kepada pelajar-pelajar kita di sekolah agar kepimpinan itu melebar dan meluas. Ini juga akan memberi peluang kepada lebih ramai pelajar membuktikan bakat kepimpinan mereka.
5. Memberikan pelajar kita kepercayaan dan peranan adalah suatu bentuk pengiktirafan yang lebih bermakna daripada semata-mata memberi sijil dan pujian atas kejayaan yang dicapai oleh pelajar kita.
6. Guru-guru harus tahu bahawa bukan semua pengiktirafan itu dalam bentuk memberi pujian dan hadiah, sebaliknya lebih ramai mereka yang berharap agar mereka diberi peranan agar mereka dapat berkreatif dan berinovasi dalam ruang lingkup peranan yang diberikan itu.
7. Jika dalam tempoh mereka memegang jawatan itu mereka tersasar daripada perkara yang sepatutnya mereka lakukan, itu bukan alasan untuk kita tidak memberi apa-apa peranan kepada mereka.
8. Mereka yang masih muda itu patut dibantu dan dibimbing dan jika mereka melakukan kesalahan pun, itu bukanlah suatu dosa atau petaka untuk kita menghentam mereka. Melakukan kesalahan dalam proses pembelajaran menjadi seorang memimpin itu adalah biasa dan masih boleh dimaafkan.
9. Menjadi pengawas dalam apa jua situasinya memerlukan kesabaran, ketabahan dan pengorbanan yang tinggi. Mereka harus pandai membahagi-bahagikan masa dan mengetahui senarai keutamaan.
10. Mereka bukan sahaja berperanan sebagai pengawas, sebaliknya mereka juga memainkan peranan sebagai anak kepada ibu bapa mereka, cucu kepada datuk dan nenek mereka, dan sebagai pelajar yang akan mengambil peperiksaan.
11. Memandangkan banyak peranan yang patut mereka mainkan,mereka patut cekap dan smart dalam melaksanakan kerja-kerja mereka agar mereka berupaya menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Beri Mereka Peranan, Bukan Hadiah "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply