1 Tulisan saya ini berkaitan tanggungjawab dan etika yang patut dipegang oleh seseorang penjawat awam. Ini termasuklah tentang apa yang dia patut luahkan dan tidak patut luahkan menjelang hari pencennya. Nasihat yang saya berikan atas nama seorang guru ini diharap tidak keterlaluan dan mungkin boleh menjadi panduan berguna kepada mana-mana kakitangan awam yang ingin bersara.

2 Menunggu hari persaraan dan melalui detik-detik terakhir menjelang persaraan memungkinkan seseorang itu terlalu ghairah dan nostalgik sehingga mudah dibuai emosi atau perasaan. Ia mudah bercakap atau menulis apa sahaja yang kadang-kadang membuatkannya terlupa yang ia masih penjawat awam sehinggalah ia benar-benar melepaskan jawatan itu pada tarikh sebenar persaraannya.

3 Selagi seseorang penjawat awam belum bersara, dia tertakluk kepada etika perkhidmatan awam sekalipun itu merupakan hari terakhirnya bertugas dengan kerajaan Malaysia.Seperti seorang guru, dia tertakluk kepada etika seorang pendidik dan bertanggungjawab kepada kementeriannya iaitu Kementerian Pelajaran.

4 Mungkin banyak pengalaman termasuk pengalaman yang kurang menyenangkan yang ingin kita luahkan kepada seseorang termasuk tentang darjah kepuasan kita bekerja dan bagaimana kita menerima layanan daripada majikan kita. Tetapi kenalah tunggu sehari selepas persaraan.

5 Jika anda bercakap tentang majikan anda contohnya mengenai Kementerian atau Jabatan yang anda berkhidmat di bawahnya kepada isteri anda atau anak anda di rumah mungkin ia boleh dimaafkan sebab jika setakat itu sahaja percakapan anda ianya masih belum membentuk suatu tanggapan umum yang akan mendedahkan percakapan anda itu kepada pelbagai tafsiran.

6 Tetapi bagaimana halnya jika rasa tidak puas hati kepada majikan anda itu diluahkan kepada sekumpulan orang atau di tempat-tempat yang terbuka sekalipun anda tidak mempunyai niat agar orang ramai menyebarkannya. Apatah lagi dengan niat untuk memberitahu kepada rakyat seluruh Malaysia mengenai rasa tidak puas hati anda itu.

7 Sebagai guru yang selalu melihat banyak perkara dari perspektif pendidikan dan akademik, termasuk dalam perkara yang satu ini, saya memang berharap agar seseorang penjawat awam tanpa mengira pangkat berupaya menjaga etika termasuk tutur katanya sehingga ke minit dan saat terakhir persaraannya.

8 Ada orang yang boleh bersabar berpuluh tahun lamanya berada dalam perkhidmatan awam, tetapi pada hari-hari terakhir telah menukar kepada warnanya yang sebenar. Dia mengharapkan orang ramai bersimpati terhadapnya, tetapi yang dikhuatiri lebih ramai orang yang akan memandang serong terhadapnya. Sikapnya yang selama ini amat bertanggungjawab dan dihormati, tiba-tiba sahaja terpadam begitu sahaja hanya disebabkan percakapannya itu.

9 Saya sedar adalah sulit bagi seseorang penjawat awam itu untuk membebaskan dirinya sama sekali daripada apa yang dikatakan campurtangan oleh seseorang atau jabatan atau kementerian yang dia memang bekerja di bawahnya. Malahan sebagai penjawat awam tidak kiralah betapa besar pun jawatan dipegang dan di mana pun organisasi yang dia bekerja dia memang tertakluk kepada organisasi tempatnya bekerja sepanjang tempoh ia bekerja.

10 Contohnya jika anda guru, wajarkah anda berkata yang anda begitu susah menjalankan tugas anda sebab Pengetua selalu campurtangan dalam urusan anda. Atau Pengetua yang berkata betapa sukarnya dia hendak menjalan tugas-tugasnya sebab Pengarah Pelajaran selalu campur tangan. Atau Pengarah Pelajaran pula berkata sukarnya saya hendak menjalankan fungsi saya kerana Kementerian Pelajaran campurtangan. Tentu aneh bunyinya malahan tidak wajar pun anda berkata begitu.

11 Ini berbeza keadaannya jika anda memegang sebuah Kementerian. Jika anda hanya memegang sebuah Jabatan walau siapa pun anda, anda masih tertakluk dan perlu akur kepada kementerian yang jabatan anda berada di bawahnya. Jadi tidak timbul wujudnya campurtangan sesebuah kementerian ke atas sesebuah jabatan kerana campurtangan itu memang perlu dilakukan dalam keadaan tertentu sebagai menunjukkan kementerian itu bertanggungjjawab terhadap jabatan-jabatannya.

12 Yang lebih buruk lagi lagi apabila percakapan anda itu digunakan sebagai suatu pukulan sehingga menjadi suatu bebanan pula kepada pihak yang lebih berkuasa di atas anda untuk menjawabnya. Anda merasakan anda mahu mengajar majikan anda itu, tetapi sebenarnya anda membuka ruang fitnah kepada pihak musuh yang akhirnya bukan sahaja meletakkan diri anda dalam keadaan sukar, malahan jabatan anda, kementerian anda dan kerajaan anda pun turut mengalami kesukarann juga.

13 Sebab itulah sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab dia amat dituntut mematuhi etika pekerjaannya untuk sepanjang masa termasuk dalam menjaga hubungan baik dengan majikannya di pelbagai peringkat. Apa pun tindakannya termasuk dalam percakapannya sewajarnya dapat memberi gambaran yang dirinya dalam apa jua keadaan menjadi orang yang setia kepada organisasi tempatnya bekerja, kepada kementerian yang dia berada di bawahnya dan seterusnya kepada kerajaan Malaysia.

Hakcipta Abd Bashid Harun