1 Saya menjadi ahli UMNO sudah lama. Pada awalnya saya tidak kisah sama ada saya menjadi ahli UMNO atau pun tidak.Negara kita yang aman dan makmur menyebabkan saya berfikiran begitu tanpa memikirkan siapakah sebenarnya yang berusaha ke arah semuanya itu. Tetapi mujurlah saya ada bapak yang ambil berat dan melihat jauh ke hadapan yang telah mendaftarkan saya sebagai ahli UMNO.
2 Semangat perjuangan Melayu dan Islam yang wujud dalam jiwa bapak saya sejak melihat penjajahan Belanda di bumi Indonesia, tempat asal ayah serta kesusahan hidup yang dialaminya membuatkan dia berfikiran jauh tentang saya.
3 Ayah saya yang saya panggil bapak dan membahasakan diri saya sebagai aku ketika berbual seperti kebanyakan anak-anak banjar yang lain telah mengambil keputusan untuk mendaftarkan saya sebagai ahli UMNO semasa saya di sekolah menengah lagi.Bapak berpendapat inilah yang terbaik untuk masa depan saya dan untuk negara ini.
4 Saya mengenali ayah saya sebagai seorang yang tegas. Tanpa mengira anak lelaki atau perempuan ayah melayan kami sama sahaja dan jika ada yang tidak kena tali pinggang akan digunakan. Dalam menentukan parti mana yang sesuai untuk saya, dia tidak perlu bertanya kepada ibu saya dan ahli keluarga yang lain. Dia cukup dominan dalam keluarga besar itu.
5 Dalam sejarah kehidupan saya, keluarga sebelah ibu hampir kesemuanya memihak kepada Pas, dan di sebelah bapa pula majoritinya UMNO. Tetapi ayah saya mengambil sikap terbuka dalam hal ini, begitu juga dengan ibu saya yang mengikut sahaja apa kata ayah.
6 Dia seorang imam, khatib dan orang kepercayaan di kampungnya. Dia tidak mahu soal parti menyebabkan perpaduan utuh di kampungnya pecah. Dia lebih mengutamakan masyarakat daripada politik. Dengan sesiapa sahaja dia berkawan dan kenduri siapa pun dia akan turun membantu.Tetapi dia amat tegas.Dia hanya berbual tentang politik apabila perlu dan itu pun dengan anaknya. Bukan semua ahli keluarga saya yang berminat berbual tentang politik.Hanya saya.
7 Tetapi untuk semua anak-anak beliau lebih gemar bersembang tentang kezaliman Belanda, kesusahan pada zaman Jepun, kezaliman Bintang Tiga dan komunis, peristiwa perbalahan kaum 13 Mei 1969. Beliau bercerita tentang nasib orang Melayu Islam di negara ini dan umat Islam di seluruh dunia.
8 Dia tidak mempedulikan sama ada anaknya itu lelaki atau perempuan. Dia melayan sama sahaja. Apabila bersalah dia akan memukul kami dengan tali pinggang yang sentiasa tersangkut pada seluar panjang yang digantungnya pada paku di satu tiang rumah.
9 Seluar bertali pinggang itu boleh dilihat dengan jelas oleh semua anak sebagai satu ingatan bahawa tali pinggang itu akan digunakan apabila perlu.Ayah tidak pernah saya lihat menggunakan rotan walhal di belakang rumah saya ada pokok rotan manau yang banyak tumbuh.
10 Dia akan mengimami dan mengepalai mana-mana majlis tahlil dan kenduri kesyukuran.Bapak mengikuti perkembangan saya sehingga saya masuk ke universiti. Bapak terlalu risau jika mendapat tahu saya terlibat dengan pergerakan politik kampus, apatah lagi terikut-ikut dengan aliran yang menentang arus.
11 Arwah bapak mahu saya bebas daripada sebarang elemen politik semasa di kampus, apatah lagi saya adalah pemegang dermasiswa perkhidmatan awam.Setiap kali saya pulang ke kampung semasa cuti penggal pengajian, bapak selalu mengingatkan saya tentang hal yang satu ini.
12 Kerisauannya itu berasas sebab dia sudah dapat menghidu tingkah laku anaknya yang gemar bercakap mengenai politik, mengulas tentang kepimpinan dan perjuangan setiap kali pulang ke kampung.Saya tidak pernah menyalahkan bapak saya tentang apa jua yang dibuat untuk saya sebabnya bapak hanya mahu memberikan yang terbaik untuk saya.
13 Tetapi saya tidak pernah menjadi ahli UMNO yang ambil tahu, jauh sekali untuk aktif. Tetapi keputusan untuk menjadi ahli UMNO yang aktif telah diambil pada tahun 2007.Pada waktu itu saya mula menunjukkan pendirian saya terhadap parti dan kerajaan yang saya dokong.
14 Saya melihat ketika itu serangan demi serangan ditujukan kepada UMNO oleh parti pembangkang melalui blog-blog mereka.Blog-blog pembangkang lahir bagai cendawan tumbuh dalam musim hujan lebih-lebih lagi menjelang PRU ke-12.
15 Pada waktu itu UMNO semacam belum bersedia dengan ledakan dunia media baru termasuk berhadapan dengan serangan yang dibuat ke atasnya melalui blog walhal UMNO di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathirlah yang memulakan dan menggalakkan pertumbuhan ICT melalui pembangunan Koridor Raya Multimedia.
16 Tetapi itu dahulu. Sekarang ini media baru UMNO telah bangkit dengan begitu bergaya sekali. Sungguh pun mereka agak terlewat dalam memanfaatkan media baru untuk kepentingan parti dan kerajaan, namun media baru atas nama laman sesawang, blog dan web site mereka telah tumbuh dengan banyak sekali sehingga memadamkan blog-blog pembangkang yang lain.
17 Tetapi yang lebih penting lagi bagaimana blog ini digarap begitu rupa oleh pemiliknya yang turut menulis dalam blog berkenaan melalui artikel, komen dan tulisan-tulisan yang konsruktif dan penuh strategi yang ditujukan secara bertalu-talu ke atas pembangkang.
18 Walaupun pada awalnya kita nampak sesetengah penulis terikut-ikut dengan rentak pembangkang dengan turut memaki hamun dan mengejek lawan masing-masing,namun lama kelamaan blog pro-UMNO ini semakin ke hadapan dengan membina identitinya yang tersendiri.
19 Kalau dahulu mereka hanya menepis serangan dengan meninggalkan komen tetapi kini berupaya menyerlah kekuatannya yang tersendiri dan mampu berdepan dengan apa jua serangan yang dilakukan ke atas UMNO dan BN.
20 Saya beritahu isteri saya keputusan ini bukan mudah sebab kita ambil keputusan ini ketika UMNO lemah(2007).Ketika itu bunyi-bunyi orang yang mengritik UMNO lebih banyak daripada yang memujinya.
21 Yang lebih parah lagi ahli UMNO sendiri mensabotaj parti dan kerajaan, terutama menjelang beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-12. Saya mengenali mereka sebagai ahli UMNO yang setia kepada parti.Rupa-rupanya sangkaan saya kepada mereka selama ini silap.
22 Kita sepatutnya menjadi ahli UMNO yang berkualiti, yang terdidik dengan semangat juang dan pengorbanan yang tinggi. Kita perlu bersamanya sama ada dalam susah dan senang dan membantu apabila diperlukan.
23 Saya mendapat pengajaran yang amat berguna daripada apa yang berlaku sekitar tahun 2007 dan 2008.Kita hanya mahukan sebuah parti yang sihat, kuat dan yang dapat memberikan sesuatu kepada kita.Tetapi apabila parti mula lemah dan tidak lagi berupaya membantu, kita lari daripadanya. Inilah masalahnya.Jika kita kekal sebagai penyokong lainlah ceritanya, tetapi kita turut menyebelahi musuh kepada parti kita.
24 Ketika itu, isteri saya kata inilah masa yg sesuai untuk aktif, masa lemahlah kita kena bantu.Isteri saya betul kerana memberi nasihat yang betul, pada saat yang betul dan di tempat yang betul.
25 Keputusan yang kami ambil ini langsung tidak popular sebab kebanyakan orang hanya mahu aktif ketika kuat. Tidak semua kawan dan keluarga terdekat bersetuju dengan tindakan saya. Tetapi ketika itulah kami muncul untuk membantu.Saya yakin keputusan kami itu tidak salah.
26 Saya percaya ini bukan keputusan saya dan isteri saya seorang.Masih ramai lagi ahli UMNO atau bukan ahli UMNO tetapi memahami apa yang sedang berlaku sekarang dan apa yang patut dibuat mengambil keputusan yang serupa.
27 Mereka adalah kumpulan yang diam pada asalnya.Mereka tidak ada apa-apa jawatan. Mereka langsung tidak dkenali dalam kalangan mereka yang aktif dan berjawatan dalam parti.Hadir mereka dalam parti hanyalah untuk membantu.Tidak kurang dan tidak juga lebih daripada itu.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Bapak, UMNO Dan Saya "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply