1 Jika tidak disebabkan harga beberapa barangan keperluan yang naik secara mendadak, akhir 2010 dan permulaan 2011 sudah dilihat cukup baik bagi kerajaan 1Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak.

2 Saya sudah lama mendambakan sebuah kerajaan Malaysia yang kuat. Apakah yang saya maksudkan dengan kerajaan yang kuat itu? Iaitu sebuah kerajaan yang bukan sahaja mendapat lebih 2/3 majoriti di parlimen tetapi turut digeruni oleh golongan peniaga.

3 Kerajaan Barisan Nasional tidak mustahil untuk mencapai majoriti lebih 2/3 di parlimen sebab memang kita pernah meraihnya sebelum ini, tetapi tentang pengawalan ke atas golongan peniaga, kerajaan dilihat masih mencari-cari mekanisme yang sesuai.

4 Sebagai rakyat yang sayangkan kerajaan Barisan Nasional, saya mahu melihat sebuah kerajaan yang berupaya mengawal golongan peniaga dan menyebelahi majoriti iaitu pengguna. Apabila berlaku pertembungan antara dua golongan, iaitu pengguna dan peniaga saya mahu mengharapkan kata-kata yang lebih sedap didengar yang ditujukan kepada pengguna bukannya amaran, sindiran dan retorik seperti meminta pengguna lebih bijak berbelanja atau menyalahkan pengguna apabila berlaku sesuatu kenaikan.

5 Kerajaan tidak boleh melihat hanya gula dan petrol. Kerajaan harus melihat semuanya termasuk bawang besar,bawang putih,minyak masak dan kentang. Kerajaan harus mempunyai mekanisme berkesan untuk mengawal harga barang keperluan dan mampu menyeimbangkan antara kenaikan harga barangan keperluan dengan gaji dan insentif yang ditawarkan. Jika tidak, kerajaan tetap dilihat memberi keutamaan kepada peniaga, bukannya rakyat.

6 Rakyat kebanyakan melihat kerajaan begitu lantang apabila bercakap tentang rakyat, tetapi seolah-olah hilang suara apabila berurusan dengan peniaga dan melayani karenah mereka. Barangan sudah naik harga sebelum kerajaan mengumumkannya atau kerajaan terpaksa mengumumkan kenaikan harga barangan yang sudah dinaikkan oleh peniaga?

7 Saya rindukan sebuah kerajaan yang berkuasa dan menguasai, termasuk ke atas golongan peniaga dan usahawan. Percakapan kerajaan didengar oleh peniaga dan arahan mereka pula segera dipatuhi.

8 Kerajaan boleh bangunkan itu dan ini, tetapi jika golongan peniaga dilihat lebih berkuasa daripada kerajaan, pembangunan yang mengutamakan rakyat masih dilihat belum lengkap.

9 Kerajaan diharap melihat kenaikan harga barangan dan penguasaan golongan peniaga ini sebagai isu penting jika kerajaan benar-benar mahu dilihat mendahulukan rakyat.Jika tidak, rakyat mendapat gambaran yang kerajaan selalu dibuli oleh peniaga. Jika keadaan ini berterusan, saya bimbang kerajaan terpaksa berdepan dengan tekanan baru daripada rakyat menjelang awal 2011.

10 Pengguna adalah raja dan sentiasa betul hanyalah cerita untuk menghiburkan hati pengguna tetapi realitinya yang menjadi raja sebenar ialah peniaga. Pengguna tidak benar-benar berkuasa ke atas peniaga, sebaliknya kerajaan yang dipilih rakyat dan punya kuasalah yang boleh berada di atas para peniaga.

11 Pengguna amat sulit untuk “mengajar” peniaga dan menentukan harga yang sepatutnya mereka bayar untuk suatu barangan yang dibeli. Tetapi adalah mudah bagi mereka mengalihkan pengajaran daripada peniaga itu kepada mengajar kerajaan.

12 Peniaga tidak boleh dijatuhkan secara langsung, tetapi tidak kerajaan. Di Malaysia perbuatan buruk peniaga selalunya kerajaan yang akan menanggung padahnya. Di sinilah kerajaan yang memerintah harus lebih berhati-hati.

13 Tidak ada pilihan raya umum untuk memilih dan menjatuhkan peniaga, tetapi untuk memilih kerajaan pilihan raya umum (PRU) itulah mekanismanya.Melalui PRU itu rasa tidak puas hati kepada peniaga akan diterjemahkan melalui kertas undi.

14 Jadi jangan biarkan kerajaan yang terpaksa menerima akibat buruk daripada sikap tamak dan tidak beretika peniaga yang tidak bertanggungjawab.

15 Ingat, selagi pengguna mengeluh semasa mengeluarkan wang untuk membayar harga suatu barangan dan perkhidmatan, selagi itulah kerajaan tidak boleh berada dalam keadaan selesa. Apatah lagi pengguna sudah mempunyai senjata besar mereka iaitu rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Catatan GuruBashid