1 Khamis-YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Haji Abdul Khalid, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kamunting telah sudi mengagihkan bantuan alat tulis kepada calon SPM 2011 yang akan menduduki peperiksaan itu bermula Isnin hadapan.

2 Majlis yang penuh bermakna itu telah berlangsung dengan jayanya di SMK Kamunting yang turut dihadiri oleh Pengetua atau wakil Pengetua daripada enam buah sekolah menengah dalam zon Kamunting.

3 Sekolah yang terlibat menerima bantuan tersebut ialah SMK Kamunting, SM Teknik Taiping, SMK Bukit Jana, SMK Taman Panglima, SMK Klian Pauh dan SABK Ma’ahad al-Khair Lil Banat.

4 SMK Kamunting, SMK Bukit Jana dan SABK Ma’ahad Al-Khair Lil Banat dihadiri oleh Pengetua masing-masing sementara yang lain-lainnya sekadar menghantar wakil.

5 SMK Kamunting selaku tuan rumah mendapat penghargaan apabila kesemua calon STPM bersama beberapa calon SPM yang mewakili kawan-kawan mereka telah menerima kit alat tulis itu daripada YB ADUN Kamunting sendiri.

6 Majlis Penyerahan Bantuan Alat Tulis itu turut dihadiri oleh Tuan Haji Mohd Shariffuddin bin Shafie, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Larut, Matang dan Selama(LMS) yang mewakili Tuan Pegawai Pelajaran Daerah. Beliau baru sahaja ditempatkan di PPD LMS bagi menggantikan Timbalan PPD sebelum itu, iaitu En Mohd Dan.

7 Turut hadir ialah Sarjan Ramlee Salleh dari Balai Polis Kamunting yang mewakili Pegawai Perhubungan Sekolah SMK Kamunting, Inspektor Ramblee, NYDP PIBG SMK Kamunting, En Anuar Razaly bersama beberapa AJK beliau dan En Fadzil Abdullah,SU JKK Kg Expo yang mewakili Pengerusi JKK Tuan Haji Zakaria.

8 Dalam ucapannya yang padat dengan nasihat dan kata-kata dorongan, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak telah mengingatkan semua calon SPM dan STPM agar memberi fokus kepada peperiksaan yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi itu dengan menjaga kesihatan masing-masing.

9 Menurut beliau kejayaan dalam dua peperiksaan besar itu amat penting dalam menentukan haluan pelajar selepas itu. Pencapaian yang cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut membolehkan mereka mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta dengan tawaran kursus yang baik dan sesuai untuk mencorakkan masa depan mereka seterusnya.

10 Sambil memberikan contoh kepada diri beliau sendiri, Dato’ Mohammad Zahir mengingatkan pelajar bahawa tiada kejayaan yang datang bergolek atau terbang melayang begitu sahaja. Semuanya mesti diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

11 Sebelum itu, dalam ucapan aluannya, Haji Mohd Harithuddin bin Satari yang baru sahaja bertukar sebagai Pengetua di SMK Kamunting mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Dato’ Zahir yang sentiasa mengambil langkah perlu untuk membantu pihak sekolah.

12 Pengetua menegaskan pelajar tidak akan dibiarkan bersendirian dalam menempuh hari-hari penting mereka sebagai pelajar, tetapi mereka dibantu oleh ramai pihak termasuk kerajaan, pemimpin setempat, anggota masyarakat, ibu bapa dan guru-guru.

13 Majlis yang tamat kira-kira jam 12.30 tgh itu diakhiri dengan sesi fotografi bersama YB Dato’ sebelum tetamu jemputan menikmati hidangan tengah hari.

14 Rata-rata pelajar yang ditemui melahirkan rasa bangga mereka dengan kejayaan YB Dato’ yang diumpamakan sebagai ikon individu yang berjaya dalam zon Kamunting.

15 Mereka berjanji untuk memberi yang terbaik kepada pihak sekolah sebagai membalas usaha murni pihak sekolah dan pemimpin setempat yang selama ini begitu banyak memberikan pelbagai bantuan dan sokongan kepada mereka.

Catatan Abd Bashid Harun