Rencana di bawah pernah tersiar dalam Mimbar Jumaat, Utusan Melayu dan Utusan Malaysia, 14 Oktober 1988 iaitu 6 tahun sebelum pertubuhan Darul Arqam diharamkan.

1. Setelah membaca kandungan bab 19 yang bertajuk Dia Pasti Datang yang termuat dalam buku Inilah Pandanganku, iaitu himpunan beberapa pandangan Haji Ashaari Muhammad Syeikh Al-Arqam yang disusun oleh Khadijah Aam, timbul tanda tanya dan keraguan di hati saya, siapakah yang pasti datang itu?

2. Bagi sesiapa yang mahu berfikir setelah membaca bab tersebut di samping membuang perasaan fanatik terhadap seseorang atau sesebuah kumpulan yang tertentu pasti akan turut merasakan bahawa seperti apa yang saya rasakan ini.

3. Adakah “Dia” yang pasti datang itu ialah Syeikh Suhaimi yang dipercayai oleh Syeikh al-Arqam dan pengikut-pengikutnya selama ini sebagai Imam Mahadi yang ditunggu-tunggu itu? atau mungkin juga orang lain.

4. Kalau orang lain, siapa? Kalau benar orang lain, apa pula muslihat Syeikh Al-Arqam selama ini mendakwa Syeikh Suhaimi sebagai Imam Nahadi yang akan lahir itu dan sanggup pula mempertahankan pegangannya itu bermati-matian.

5. Inilah beberapa pertanyaan yang timbul di hati saya setelah habis membaca bab tersebut. Kalau yang dimaksudkan oleh Syeikh Al-Arqam Dia yang pasti datang itu Imam Mahadi yang bernama Syeikh Suhaimi, maka sepatutnya penyusun buku ini mengkhususkan keseluruhan atau sebahagian besar bab ini untuk memecahkan persoalan mengenai diri manusia yang pasti akan datang itu.

6. Sebaliknya penyusun buku ini, Khadijah Aam telah memulakan bab ini dengan menceritakan latar belakang pendidikan, perkahwinan dan penglibatan Haji Ashaari Muhammad yang juga merupakan suaminya dalam sebuah pertubuhan politik di negara ini sebelum beliau memimpin Darul Arqam seperti sekarang ini.

7. Mengapakah hal-hal yang bersangkutan dengan Syeikh Al-Arqam itu dianggap begitu penting oleh penyusun buku ini sehingga terpaksa diletakkan pada permulaan bab, sedangkan perkara-perkara yang dibangkitkan langsung tidak ada kena mengena dengan dia yang pasti datang itu.

8. Kemudian penyusun buku ini dengan penuh mencurigakan meneruskan bab ini dengan menceritakan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Darul Arqam dalam segenap bidang selama di bawah pimpinan Syeikh Al-Arqam,lengkap dengan angka-angka dan data-data.

9. Apa pula pentingnya angka-angka ini dalam membincangkan Dia yang pasti datang itu. Apakah Dia yang pasti datang itu mempunyai hubungan yang rapat dengan angka-angka tersebut?

10. Pada perenggan keenam barulah hal yang bersangkutan dengan Dia yang pasti datang itu diceritakan. Akan tetapi sekali lagi ceritanya menghampakan kerana cerita mengenai diri Dia yang pasti datang itu hanya disebut secara umum sahaja.

11. Namanya, susur galur keluarganya, keturunannya, sifat-sifatnya, riwayat hidupnya dan peribadi langsung tidak diceritakan.

12. Mungkin penyusun buku ini mempunyai alasan tersendiri untuk menyebut kesemua itu kerana perkara itu telah disebutkan sebelumnya dalam buku Siapa Mujaddid Kurun Ke-15.

13. Tetapi kalau perkara itu tidak dianggap perlu untuk diceritakan oleh penyusunnya, mengapa Dia yang pasti datang menjadi pilihan untuk dijadikan tajuk dalam bab ini. Mengapakah tidak dituliskan sahaja kejayaan-kejayaan Darul Arqam kerana tajuk-tajuk itu dirasakan lebih sesuai dengan cerita yang ditulis dalam bab 19 itu.

……bersambung

Hakcipta Abd Bashid Harun