1 Ada individu tertentu yang cuba membawa perkara yang berkaitan dengan penggunaan kalimah Allah ke corong perbincangan ilmiah atau mengupasnya dalam kerangka teologi (ilmu kalam) bagi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh sesiapa sahaja atas alasan Allah itu milik semua.
2 Saya bersetuju jika perbahasan tentangnya berlangsung di kalangan pelajar dalam disiplin teologi dan sasaran perbincangan mengenainya menjurus di kalangan orang tertentu iaitu mereka yang arif atau mengetahui sebagai lawan kepada orang kebanyakan atau awami atau istilahnya, lay man on the street.
3 Perbincangan secara ilmiah dalam hal ini menurut wadah yang sesuai serta dengan kehadiran mereka yang berilmu tentu lebih terkawal dan tidak sampai menimbulkan fitnah atau keraguan, tetapi bagaimana jika hal ini sengaja dibuka seluas-luasnya di kalangan orang awam di Malaysia yang merupakan kumpulan terbesar berbanding kumpulan yang mengetahui (ilmu kalam)
4 Sebagai muslim mukmin yang menyakini bahawa Tiada Tuhan yang disembah selain Allah, saya berharap agar semua orang di dunia ini juga mempunyai keyakinan yang serupa.
5 Sebab itu apabila kerajaan suatu ketika dahulu memasukkan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan saya sedikit pun tidak mempertikaikannya. Kesaksian saya bahawa Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, tidak goyah sezarah pun dengan penggunaan kata Tuhan dalam Rukun Negara itu.
6 Alasan saya tidak sukar untuk difahami. Sama ada yang disembah itu diungkap sebagai Tuhan atau Rab atau Ilahi atau God saya tetap meyakini bahawa yang dimaksudkan itu ialah Allah, iaitu Tuhan Yang Esa, Yang Menjadi Tumpuan segala Makhluk, Yang Tidak Beranak dan Yang Tidak Diperanakkan dan Yang Tiada Sekutu Bagi-Nya (Maksud surah al-Ikhlas).
7 Jika saya meragui penggunaan kata Tuhan itu dengan mendakwanya sebagai tidak tepat atau mengelirukan, sayalah sebenarnya yang sedang keliru dan ragu-ragu tentang Tuhan saya. Wajarkah saya keliru mengenai Tuhan saya yang telah saya yakini selama ini meskipun hanya sebesar zarrah.
8 Atas pendirian sebegini saya lebih meragui keyakinan mereka yang pernah mempertikaikan penggunaan nama Tuhan bukan Allah dalam Rukun Negara tersebut sebab bagi saya seolah-olah mereka percaya ada sembahan atau ilah yang lain jika nama Tuhan digunakan.
9 Mereka menuduh kerajaan pada waktu itu tidak islamik dan kufur atas penggunaan klausa Kepercayaan Kepada Tuhan itu. ” Mengapakah tidak terus menggunakan kepercayaan kepada Allah, bukankah Allah itu Tuhan sebenar kita?, ” dakwa mereka.
10 Sebahagian kita mungkin tidak merasakan apa-apa daripada penggunaan kata Allah itu. Dari sudut logika dan literalnya semacam tidak ada apa-apa kesan, malahan kita gembira jika ada orang bukan Islam sanggup menggunakannya.
11 Kita tidak pernah mempertikaikan penggunaan kalimah Allah jika itu sudah menjadi suatu pertuturan biasa dalam kelompok penganut Kristian di negara ini. Tetapi yang menjadi keraguan kita Keputusan mengenainya dimuktamadkan di dalam mahkamah yang sudah tentu akan menjadi rujukan undang-undang dan tidak dapat tidak mempunyai kaitan dengan perlembagaan negara.
12 Apabila ada ulamak dan kumpulan yang cenderung untuk menghalang penggunaan kata Allah di kalangan penganut kristian, sebenarnya yang mereka maksudkan ialah yang diputuskan dalam Mahkamah Tinggi itu.
13 Bukan mereka tidak tahu yang selama ini pun memang ada penganut kristian menggunakan kata Allah seperti di Sabah dan Sarawak, tetapi tidak pula wujud sebarang pertikaian, apatah lagi tekanan atau “sanction” dibuat ke atas mereka yang menggunakannya.
14 Tetapi apabila sudah dibawa ke mahkamah, dibicarakan dan diputuskan, ia sudah menjadi rasmi yang sedikit sebanyak kita tidak dapat menghalang daripada golongan awam menanggap bahawa ada sesuatu agenda tersembunyi di sebalik keputusan itu.
15 Apatah lagi ketika hal ini diputuskan hubungan antara pembangkang dan kerajaan dilihat tidak begitu baik; dan berlaku penonjolan yang begitu ketara di kalangan ahli-ahli politik yang bercakap mengenai hal agama berbanding dengan golongan ulamak dan intelektual.
16 Golongan pemimpin agama, dan ulamak lebih melihat kepada implikasi daripada keputusan yang dibuat ke atas umat Islam sedangkan golongan yang bersetuju berhujah secara ilmiah dan logika bahawa tidak salah menggunakan kepercayaan kepada Tuhan yang satu, iaitu Allah.
17 Golongan ulamak yang kontra melihat kesesatan yang lebih terdedah kepada orang Islam awam selepas kebenaran penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut lain demi menjaga kemurnian aqidah dan kesucian agama Islam, sedangkan yang satu lagi melihat kepada apa yang sepatutnya semua orang percaya dan sekaligus menerima ini sebagai petanda baik yang konon-kononnya mereka sudah mula percaya kepada Tuhan sebenar.
18 Golongan yang menentang lebih realisitik kerana mereka melihat kepada implikasi penggunaan itu ke atas orang Islam sendiri sebab mereka tahu bagaimana seseorang yang dibenarkan menyebut nama Allah itu masih mengekalkan Jesus Christ sebagai Tuhan mereka atau sebagai anak Tuhan.
19 Jadi jika mereka yang bergelar ulamak seperti Tuan Guru Haji Harussani, Dr Harun Din dan ramai lagi membenarkannya bererti mereka sudah memberi kelonggaran yang tidak sedikit dalam amalan beragama yang kesannya kepada orang kebanyakan akan menjadi lebih buruk lagi pada masa-masa mendatang.
20 Jelas sekali golongan ulamak ini mengambil jalan yang lebih menyelamatkan majoriti umat Islam sendiri setelah mengambil kira keadaan semasa umat Islam di Malaysia.
21 Dengan mengatakan bahawa penggunaan kalimat Allah tidak boleh digunbakan selain oleh penganut Islam dan sesiapa yang menyokongnya boleh kufur itu dilihat langkah yang cukup berwaspada untuk menjaga kesucian agama Islam.
22 Tindakan kumpulan ini tentunya tidak disenangi oleh kumpulan Islam liberal,golongan kesempatanisme serta kerohnisme yang selalu melihat bagaimana sesuatu itu menguntungkan mereka atau tidak, tanpa ambil peduli akan kesannya ke atas agama Islam yang suci.
23 Pandangan seperti Dr Harun Din itu sebenarnya lebih dekat dengan pendekatan agama iaitu ” untuk mengelakkan mudharat yang lebih besar, kita seharusnya mengelak daripada mudharat-mudharat yang lebih kecil yang boleh membawa ke arah mudharat yang lebih besar itu.”.
24 Walaupun ini berkaitan masalah agama, namun kita sebagai khalifah di muka bumi, apatah lagi yang bergelar ulamak mesti mengurus penganut agama dan seluruh sistem yang bersangkutan dengan sebaik-baiknya agar tidak timbul fitnah di kemudian hari. Jadi benarlah apabila Allah berkata bahawa ” kamu lebih tahu dengan urusan dunia kamu,”.
25 Kita sudah tahu bagaimana sesuatu yang kita bakal laksanakan itu memberi kesan buruk yang bukan sedikit kepada agama kita dan penganutnya, maka di bahu kitalah dituntut tindakan yang penuh bijaksana, matang dan memandang jauh ke hadapan.
Hakcipta Abd Bashid Harun











1 user commented in " Penggunaan Kalimah Allah: Antara Yang Menentang Dan Yang Bersetuju "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackSila rujuk juga:
http://www.islam.gov.my/portal/pr_kalimah_Allah.php
Leave A Reply