CARA menyembelih binatang ialah dengan memotong kesemua halqum dan mari’ sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku).
Halqum itu ialah tempat keluar masuk nafas dan urat mari’ pula ialah tempat laluan makanan dan minuman yang terletak di bawah halqum.
WAJIB bagi orang yang menyembelih itu memotong halqum dan mari’ itu. Jika ditinggalkan sebahagian daripada halqum atau mari’ itu (belum putus) dan mati binatang tersebut dalam keadaan yang demikian, maka tiada sempurna sembelihan itu dan ia adalah dikira bangkai.
Begitu juga jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih itu padahal halqum atau mari’ belum putus, kemudian dipotong semula halqum atau mari’ yang tertinggal itu, maka yang demikian itu pun adalah menjadi bangkai (tidak boleh dimakan).
Disyaratkan binatang yang disembelih itu ada hayat mustaqirrah ketika mula-mula disembelih iaitu ia akan hidup jika tidak disembelih ketika itu. Di antara tanda adanya hayat mustaqirrah itu ialah kuat geraknya ketika dipotong halqum dan mari’nya, dan menyembur darahnya. Mengikut Imam An-Nawawi memadai dengan kuat geraknya ketika disembelih.
Binatang yang panjang lehernya seperti unta, SUNAT disembelih di pangkal leher yang bawah (berhampiran dada) dengan memotong halqum dan mari’, kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Yang demikian itu juga akan memudahkan roh binatang itu keluar.
Sementara binatang yang pendek lehernya seperti lembu, kerbau dan kambing disembelih di hujung leher (yang atas).
SUNAT disembelih lembu, kerbau atau kambing dengan dibaringkan binatang itu di atas tanah sebelah rusuk kirinya dan diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu.
Sementara unta pula, SUNAT disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta tersebut berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk. (Mughni al-Muhtaj: 4/341)
SUNAT ditajamkan mata pisau bagi sembelih dan disembelih dengan kuat bersungguh-sungguh dan mengadap kiblat oleh yang menyembelih dan dihalakan ke kiblat akan binatang yang akan disembelih itu kerana kiblat itu semulia-mulia pihak.
SUNAT diberi binatang itu minum sebelum ia disembelih. Kemudian SUNAT dibaringkan binatang itu dengan keadaan lemah lembut. Jangan diasah pisau sembelih dan jangan disembelih binatang yang lain di hadapan binatang yang akan disembelih itu.
SUNAT dibiarkan binatang itu setelah disembelih sehingga ia mati.
Sumber JAKIM
















No user commented in " Panduan Menyembelih Binatang "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply