APA yang berlaku dahulu, sekarang dan akan datang baik dalam sesebuah negara, masyarakat dan organisasi berpunca daripada niat individu yang berada di dalamnya, terutama ke atas tindakan atau perbuatan yang dilaksanakan.

Pengaruh niat atau nawaitu seseorang begitu penting untuk menukarkan kerja adat menjadi ibadat, atau kerja ibadat menjadi adat.

Begitu pentingnya niat maka kaedah telah pun ditetapkan bahawa sahnya (diperakukan) sesuatu perbuatan itu ditentukan oleh niat atau objektif yang disasarkan oleh individu itu sendiri, bukan oleh organisasi.

Organisasi mungkin mempunyai visi, misi dan objektif yang cukup mantap; begitu juga pemimpin tertinggi begitu ikhlas, tetapi jika ahli-ahli dalam organisasi itu sendiri mempunyai sangka buruk atau nawaitu yang tidak baik, maka objektif yang diharapkan berlaku amat sukar untuk berlaku.

Sebagai contoh kendatipun pemimpin tertinggi kita bercakap lantang tentang perpaduan, tetapi jika dalam hati kita masih ada rasa permusuhan dan syak wasangka, perpecahanlah yang akan berlaku dan perpaduan menjadi semakin jauh.

Contoh yang lain, jika pemimpin kita ikhlas bercakap untuk mendedahkan kebenaran, namun jika di dalam hati kita tersembunyi rasa untuk memalukan seseorang daripada pendedahan itu, maka kebenaran tidak akan muncul-muncul sampai bila-bila sebaliknya manusia akan menjadi semakin bebal, sesat dan tenggelam dalam dunia keseronokan.

Tuhan memberi apa yang seseorang itu mahukan, bukan apa yang diujarkan olehnya. Sebagai contoh seseorang itu bercakap lantang menolak maksiat dan mahu melaksanakan undang-undang Islam di negara ini, namun niatnya sekadar mahu dilihat oleh orang ramai bahawa dia adalah manusia yang lebih baik dan lawan itu lebih buruk, maka maksiat tidak akan terhapus, sebaliknya rasa riak dan cinta akan maksiat menjadi bertambah-tambah.

Begitulah besarnya peranan niat sehingga memberi kesan yang mendalam ke atas semua tindakan dan antara banyak tindakan atau perbuatan, solat muncul sebagai tindakan yang paling berkesan dalam mencorakkan gaya hidup seseorang.

Maka marilah kita pasang niat yang betul, dan kemudian mendirikan solat untuk mencegah kemungkaran.

Catatan GuruBashid