1 Kita harus tahu bahawa masyarakat Islam bukanlah terlalu besar dan kuat. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan masih banyak benda baik yang perlu kita usahakan.

2 Walaupun bilangan kita ramai di seluruh dunia, tetapi di peringkat kampung dan organisasi bilangan kita sebenarnya kecil dan lemah. Kita terpecah-pecah dalam kumpulan yang lebih kecil menurut aliran kefahaman masing-masing.

3 Jika ada perbalahan antara ahli dalam kumpulan kecil itu, kita lebih bersedia untuk berpecah kepada kumpulan yang lebih kecil lagi.

4 Kita lebih gemar dan selesa berada dalam kumpulan yang lebih kecil sambil memandang rendah kepada kumpulan/kumpulan-kumpulan yang tidak sealiran dengan kita.

5 Kita membina rasa selamat dan rasa benar yang palsu dalam kumpulan kecil itu.

6 Yang anehnya dalam kumpulan yang sudah mengecil itu kita masih mampu untuk berpecah-pecah kepada individu-individu. Masing-masing merasakan pendapat dan cara mereka sahaja yang betul dan cara dan pendapat orang lain salah.

7 Yang lebih kerap terdengar di telinga kita ialah cerita-cerita buruk dan perbalahan sesama kita daripada cerita-cerita tentang usaha untuk penyatuan dan perpaduan.

8 Kita lebih suka bercakap-cakap tentang keburukan si polan dan si polan daripada mencari titik pertemuan dalam masyarakat kita.

9 Kita tidak begitu bersungguh-sungguh menawarkan bantuan atau sokongan ke arah perpaduan dan kebajikan, sebaliknya jika berlaku kelemahan dan musibah pada diri seseorang kitalah yang paling cepat ingin ambil tahu dan menunggu-nunggu masa dan ruang yang sesuai untuk menjajanya.

10 Jarang-jarang antara kita berusaha membawa kumpulan kecil kita itu untuk menautkannya kepada kumpulan yang lebih besar dan membawa kumpulan besar itu kepada kumpulan yang lebih besar lagi.

11 Apabila kita menyukai seseorang jangan sampai kita memusuhi seseorang yang lain. Kita hanya ada hak untuk berbuat baik dengan sesiapa sahaja dengan merapatkan tali silaturrahim sebab itulah yang disuruh Tuhan dan Nabi.

12 Kita tak boleh ambil alih kerja Tuhan dalam menentukan sama ada seseorang itu jahat atau baik, melainkan ia benar-benar jahat menurut undang-undang.

13 Biarkan Tuhan sahaja yang memilih antara kita ini siapa yang jahat atau baik sebab Dia sahaja yang bakal memuktamadkan sama ada seseorang itu ahli syurga atau ahli neraka. Kita jangan ambil alih kerja yang asalnya menjadi milik Tuhan.

14 Sering terjadi dalam pergaulan, apabila kita menggemari seseorang kita terlalu memuja dan memujinya, tetapi pada masa yang sama kita semakin menjauhi seseorang yang lain yang mungkin tidak begitu baik menurut nafsu kita.

15 Kita jarang-jarang bersikap di pertengahan dalam nenentukan siapa kawan kita. Kita mengambil jalan yang begitu ekstrim sama ada menyukai seseorang secara berlebih-lebihan atau membuangnya terus.

16 Disebabkan kita terlalu suka dengan seseorang kita pun mempertahankan tindakannya walaupun jelas perbuatan itu salah. Dan apabila kita telah membenci seseorang kita tidak nampak lagi akan kebaikan yang dilakukannya.

17 Inilah masalah yang membelenggu kita umat Islam hari ini. Ini wujud bukan sahaja dalam kampung, tetapi juga dalam parti, institusi tempat kita bekerja, hatta melebar ke surau dan masjid.

18 Kita patut benci kepada pebuatan buruk yang dilakukan oleh seseorang, bukan ke atas individu itu sendiri. Itu pun hanya sebelum dia dihukum dan bertaubat.

19 Selepas dia menerima akibat daripada kesalahannya atau setelah ia insaf dan memohon maaf kita hanya ada satu pilihan lagi iaitu memaafkannya.

20 Kita sering kali gagal menilai antara kepentingan peribadi dan keperluan sebuah kampung atau organisasi. Kita borong kesemuanya bahawa semua perkara adalah sama. Atau lebih tepat lagi kita bercakap ikut sedap mulut kita sahaja.

21 Apabila kita tidak menyukai seseorang kita seolah-olah tidak mampu lagi memikirkan apakah kesan percakapan kita kepada individu-idividu tertentu, organisasi dan perpaduan serta kestabilan kampung.

22 Hanya kerana kita tidak setuju dengan satu perkara yang seseorang itu lakukan, kita pun mencanangkan ketidaksetujuan kita itu ke seluruh kampung.

23 Masalah yang berlaku itu mungkin tidak sebesar mana dan hanya melibatkan antara kita dengannya. Tetapi kita cenderung untuk menyebarluaskannya hingga semua orang diajak berkongsi tentang itu.

24 Tetapi sedarkah kita bahawa lebih ramai orang yang mendengarnya lebih besarlah implikasi negatif ke atas individu yang berkenaan sehingga ia mungkin disalahtafsir dan akhirnya jatuh kepada fitnah.

25 Banyak fitnah sebenarnya bermula daripada cerita biasa yang dijaja ke sana ke mari. Fitnah itu bermula dari cara yang begini. Cerita yang bermula daripada agakan, sangkaan dan rasa-rasa oleh seseorang diangkat sebagai barang dagangan lalu dijual kepada yang mahu membeli.

26 Apa yang kita agak, rasa dan sangka itulah yang kita sebar luaskan hingga menjejaskan nama baik individu yang tertentu. Ini tentulah cara yang tidak baik dan memusnahkan. Akhirnya itulah yang mengundang fitnah dan kesan akhirnya ialah perpecahan.

Hakcipta Abd Bashid Harun