Jangan kecewa. Jangan berputus asa jika usaha-usaha anda gagal atau tidak diterima kerana bukan anda yang mampu mengubah orang lain. Bukan anda. Ingat itu. Tanggungjawab anda hanyalah melakukan yang terbaik yang terupaya anda lakukan. Tuhan tidak membebankan anda lebih daripada apa yang mampu anda pikul. Begitu juga, jika usaha anda berjaya menemukan hasil, bukan berpunca daripada usaha anda itu. Usaha anda tidak memberi apa-apa bekas. Anda hanyalah makhluk seperti juga makhluk yang lain yang semuanya tertakluk dalam lautan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya. Jika ada orang yang patut mendabik dada mengatakan merekalah yang paling berjaya, orang itu ialah para nabi dan rasul. Begitu juga jika ada orang yang paling kecewa dalam perjuangan ini, orang itu juga adalah para nabi dan rasul. Tetapi realitinya mereka tidak begitu: mereka tidak pernah mengaitkan kegagalan atau kejayaan itu dengan usaha-usaha mereka. Tuhan pernah menegur nabi dengan mengingatkan baginda bahawa baginda hanyalah menyampaikan risalah-Nya, tetapi petunjuk dan hidayah Allahlah yang beri. Begitu juga anda hanya boleh mengajar dan membimbing; murid pula belajar dan dipimpin, tetapi kejayaan atau kegagalan sebagai hasil terakhirnya bukan anda yang tentukan. Ingat itu! Walau sebesar mana pun usaha kita, walau setinggi mana pun do’a yang kita panjatkan, namun kita tak mampu mengambil alih kerja Tuhan. Ya tak sesiapa yang boleh ambil alih kerja Tuhan. Apa yang anda dapat lakukan hanyalah berusaha tanpa jemu untuk memberikan input-input yang terbaik kepada anak didik anda. Terpulanglah kepada mereka memanfaatkan input-input itu ke jalan yang baik. Insya-Allah jika Tuhan dibawa turut serta dalam usaha, ikhtiar dan do’a anda itu, permintaan anda akan dimakbulkan. Teruskanlah berusaha dan berdoa tanpa jemu kerana itulah yang manusia mampu. Hakcipta GuruBashid












1 user commented in " Manusia Tidak Boleh Ubah Manusia "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackKita hanya mamu merancang. segala ketentuan adalah atas kehendak Allah SWT.
Leave A Reply