1 Ini kenyataan keterlaluan, plus bodoh. Jika orang yang berpendidikan membuat kenyataan itu saya rasa itu lebih bodoh lagi. Saya harap itu bukan kenyataan Kelab Isteri Taat sendiri, tetapi hanya kenyataan Naib Presidennya sahaja.

2 Sebagai lelaki yang sudah beristeri saya amat tersinggung dengan kenyataan tersebut. Seolah-olah para suami gila seks dan ada pengalaman melanggan pelacur, apatah lagi tahu apa yang dilakukan oleh pelacur kelas pertama dan mahukan isteri kami melayan kami (para suami) seperti itu.

3 Itu betul untuk isteri tertentu kepada suami tertentu yang biasa dengan pengalaman itu. Tetapi bukan majoriti lelaki di Malaysia. Anda boleh gunakan taktik dan strategik pelacur kelas pertama jika anda mahu, tetapi untuk isteri saya saya beritahu memadai kekal dengan cara yang ada.

4 Bagi saya sendiri sudah memadai isteri melayan suami kayak seorang isteri yang baik dan bertanggungjawab sebagaimana yang sepatutnya.Kita sudah ada contoh, Khadijah binti Khuwailid dan Aisyah binti Abu Bakr selaku isteri Rasulullah s.a.w. yang hebat.Mengapakah kita harus ambil contoh yang lain dan contoh itu pula di luar batasan agama dan moral sedangkan contoh yang bersih, halal lagi suci sudah sedia ada dan terbukti.

5 Lagipun hubungan suami isteri bukan hanya di ranjang sahaja. Hubungan itu berlaku hampir pada setiap masa-ketika makan, berbual, menyambut dan menghantar suami bekerja dan lain-lain.

6 Ia bukan sekadar melibatkan hubungan antara dua alat sulit berlainan jantina, tetapi menuntut satu tanggungjawab yang menyeluruh, penuh rasa kasih sayang, belaian, penuh emosi dan perasaan.

7 Adakah seorang pelacur kelas pertama akan melayan seperti itu untuk tempoh seumur hidup anda bersuami isteri. Pelacur hanya mahukan wang lelaki. Jika ada lelaki seperti itu, ia hanya sekumpulan lelaki yang ada wang yang menjadikan seks di ranjang sebagai keutamaan. Itu tentulah contoh yang tidak baik.

8 Isteri saya turut marah dengan kenyataan tersebut.Menyamakan isteri yang berjaya menambat hati suami seperti layanan pelacur kelas pertama. Wah selepas ini para isteri harus membuat tinjauan atau penerokaan apa yang dilakukan oleh pelacur kelas pertama yang berjaya menambat sebahagian kecil lelaki yang bernama suami.

9 Dan lelaki juga akan membuat tinjauan dan merasai pengalaman mendapat layanan daripada pelacur kelas pertama. Dan isteri tidak boleh marah kepada suami atas alasan suami mahu belajar tentang itu.

10 Saya ingin beritahu Dr Rohaya Mohamed yang membuat kenyataan itu bahawa selagi wanita memikirkan tentang seks, lelaki akan memikirkannya berkali-kali dan menjadikan isteri (wanita) menjadi alat seks sahaja, tidak lebih dari itu.

11 Kenyataan Naib Presiden kelab tersebut mungkin sesuai untuk 1,000 ahlinya di seluruh dunia termasuk 800 orang di negara ini. Global Ikhwan Sdn Bhd yang bertanggungjawab menubuhkan kelab tersebut mungkin sesuai dikaitkan dengan kenyataan berirama seks seperti itu jika mengambil kira sejarah dan kecenderungan Al-Arqam yang pernah dikaitkan dengan pertubuhan ini.

Catatan GuruBashid