Kejahilan sebahagian besar pengikut baru PAS mengenai ajaran Islam sebenar dan penghakisan ajaran Islam di kalangan pengikut setia mereka kerana kesibukan berpolitik adalah menjadi punca kepada berlakunya banyak perkara yang menyeleweng dan mungkar yang dilakukan oleh parti itu sejak akhir-akhir ini.

Kejahilan dan penghakisan itu dibiarkan sahaja oleh pemimin PAS yang terlalu sibuk berpolitik sehingga mereka tidak punya banyak masa untuk mentarbiyah pengikut-pengikutnya.

Ini ditambah lagi dengan kecenderungan ahli PAS yang lebih gemar mencari ilmu agama daripada ceramah-ceramah politik yang dihidangkan dari pentas politik sehingga program pentarbiyahan dan berguru secara lebih sistematik dan formal bukan lagi menjadi tumpuan.

Malahan sesetengah kemungkaran dan penyimpangan ajaran Islam itu dibiarkan tanpa cuba diperbetul demi menjaga kepentingan politik pemimpin PAS sendiri dan untuk menjaga hati ahli gabungannya yang bukan beragama Islam.

Para pemimpin mereka yang sudah selesa diulit dengan jawatan dan kemudahan tertentu hampir tidak mempedulikan penyelewengan demi penyelewengan ini malahan mereka turut menjadi punca dan membenarkan apa yang berlaku.

Ini termasuklah program menyampaikan bantuan di dalam ruang masjid/surau (bukan di serambinya atau di luar kawasan masjid dan mendo’akan kesejahteraan Lim Guan Eng dalam Masjid di Pulau Pinang(sedangkan kata kesejahteraan dan keselamatan seperti yang terkandung dalam ucapan salam itu dikhususkan untuk orang Islam).

Malahan kenyataan terbaru Aziz (Nik) yang mendakwa Islam membenarkan orang bukan Islam kencing dalam masjid sambil mengaitkannya dengan sirah rasulullah s.a.w. (tanpa disebut kitab dan sumber ambilannya dengan jelas) pun suatu yang sangat mengelirukan.

Sebagai penyelesaiannya saya menyeru kepada semua ahli PAS, baik yang masih baru mahupun yang sudah lama tidak menambah ilmu agama agar kembali kepada guru-guru agama yang memang ditugaskan untuk mengajarkan agama yang tiada kepentingan politik.

Kebiasaan mendapat ilmu agama daripada ulasan-ulasan bersifat politik termasuk melalui ceramah-ceramah politik tidak akan menambahkan kefahaman seseorang kepada ajaran Islam sebenar.

Abd Bashid Bin Harun
B.A Hons (Islamic Studies), Malaya, M.Princ (Kepengetuaan), Malaya
Bekas Yang DiPertua
Persatuan Guru-Guru Agama Kebangsaan Sabah (PGUKS)