” Aku semakin bimbang dengan apa yang berlaku ke atas negaraku kini. Fitnah berhamburan seperti percikan bunga api. Kecenderungan untuk menyalahkan pihak yang berkuasa sama naik dengan fitnah dan adu domba. Semakin lantang suara menyalahkan pemerintah semakin banyak fitnah tercipta. Keadaan ini sama seperti situasi zaman akhir khalifah Uthman dan pada zaman pemerintahan Saidina Ali. Malahan sekarang ianya menjadi lebih buruk lagi apabila kepakaran dalam teknologi maklumat digunakan semau-maunya di mana sesuatu yang palsu dibina dan dinampakkan sebagai benar. Dan semakin ramai pula orang yang mempercayainya. Mereka lebih percaya dengan apa yang mereka dengar. Di celah-celah itu Tuhan mengirimkan peringatan-Nya dengan ancaman H1N1 dan beberapa petaka lagi dalam negara. Tetapi berapa ramai yang mahu mengambil pengajaran daripadanya. Malahan mereka lebih cenderung melihat semua kejadian dan petaka ini sebagai salah kerajaan. Kerajaan menjadi serba tidak kena dibuatnya. Apa yang dibuat oleh kerajaan tidak lagi penting buat mereka. Mereka lebih terpukau dengan kata-kata yang disulami maki hamun, fitnah dan kadang-kadang menyesatkan.Tidak ada yang berani membetulkannya kecuali sedikit. Dan jika ada yang berani membetulkannya mereka pula yang dituduh sesat. Perasaan kebencian ke atas saudara se-Islam sengaja disemarakkan. Peniaga-peniaganya pula selalu mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang sesuka hati mereka. Gula disorokkan, penyeludupan berleluasa dan pengedaran dadah semakin menjadi-jadi. Di tengah-tengah itu bermunculan sang juara yang bukannya memadamkan api itu tetapi mengipas untuk menyemarakkannya lagi. Jika ini pengakhiran bagi semua nikmat keamanan dan kemakmuran yang pernah kita kecapi aku redha. Dan aku juga redha meskipun dalam kepayahan untuk menerima balasan Tuhan ke atas kita. Keadaan yang kita alami sekarang ini sebenarnya tidak jauh bezanya dengan apa yang pernah berlaku di Indonesia sehingga Tuhan menurunkan Ombak Tsunami untuk mendiamkan mereka. Indonesia bangun selepas Tsunami itu dan seluruh rakyatnya mula bersatu mendokong kerajaan. Jika ombak besar menggulung menghempas bandar dan kampung; jika tanah merekah sambil menenggelamkan rumah di kota dan di desa; jika bumi dibelah dan langit dilipat sambil menyemburkan air hingga menenggelamkan umat ini dan jika bahang panas tiba-tiba bertukar menjadi lidah api menjilat setiap yang ada redhalah kita jika itu kesudahan yang akan menyedarkan kita,” GuruBashid











No user commented in " Jika Ini Ketentuan-Nya Apalah Upaya Kita Untuk Menghindarinya? "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply