Tuan/Puan,

Marilah kita mengutuk sekeras-kerasnya insiden pembakaran gereja yang saya percaya ada niat jahat pihak tertentu untuk menangguk di air keruh dan lebih memburukkan keadaan. Sesungguhnya mereka jenis ini tidak pernah senang melihat nikmat keamanan dan kestabilan yang telah lama kita kecapi. Mereka mahu menjadikan negara Malaysia seperti beberapa buah negara di dunia ini yang tidak pernah aman dan tenteram. Tetapi jika ini yang diharapkan berlaku oleh manusia jenis ini, mereka akan bergembira dengan insiden ini, malahan mereka akan terus mencipta isu-isu lain yang dikaitkan dengan agama agar ketegangan dan keresahan terus berlaku. Marilah kita bersama-sama sepakat menolak individu dan kumpulan manusia jenis ini. Marilah kita kembalikan keamanan dan kerjasama pelbagai penganut agama yang kita amalkan selama ini. Semoga Allah melindungi Malaysia daripada tangan-tangan jahat. Marilah kita menyerahkan persoalan yang berkaitan agama kepada mereka yang ahli, iaitu ulama’ yang tidak berkepentingan dan pihak berkuasa kerajaan Malaysia.

Abd Bashid Harun