1 Kita disuruh ikut nabi. Tetapi Nabi Muhammad s.a.w. yang hendak diikut itu sudah lama wafat. Maka kita patut mencontohi orang yang ikut nabi.Yang paling dekat dan kuat ikut sunnah nabi ialah para sahabat nabi sendiri.

2 Tetapi generasi mereka sudah tiada. Jadi siapakah antara kita sekarang yang ikut nabi yang patut menjadi contoh kepada kita semua? Kita perlukan contoh dan ikutan yang hidup. Tetapi siapakah mereka itu?

3 Adakah gelaran atau jolokan agama yang dikaitkan dengan seseorang seperti gelaran Tok Guru atau tuan guru memadai dan menjadi jaminan yang ajarannya boleh dipercayai atas alasan dia memang ikut nabi?

4 Mahaguru saya dalam bidang sosiologi, asy-Syahid Dr Ali Shariati dalam bukunya Man and Islam pernah berkata “sekarang bukanlah zaman untuk mempercayai dan mengikut sesuatu yang kita tidak tahu tentangnya”.

5 Kepercayaan sahaja tanpa pengetahuan, kata sosiologist kelahiran Iran itu tidak mempunyai apa-apa nilai.

6 Walaupun ingatan itu ditujukan kepada masyarakat Iran,namun saya ingin membawanya semula kepada masyarakat kita. Kita tak boleh Nak Ikut kepada Pak Turut, termasuk dalam bidang politik.

7 Contohnya, sebagai seorang Islam kita disuruh ikut nabi. Memang sedap bunyinya dan itulah yang sepatutnya. “Sembahyanglah sebagaimana aku sembahyang”, itulah salah satu kata nabi.

8 Tetapi realitinya yang diikut oleh manusia bukan nabi, tetapi ibu, bapa, datuk atau moyang mereka. Ataupun orang-orang yang wujud di sekeliling mereka. Atau yang ditunjuk dan diberitahu oleh guru-guru mereka.

9 Oleh kerana ibu bapa dan orang-orang yang berpengaruh di sekeliling mereka telah melakukannya berulang kali, maka mereka pun melakukannya. Mereka melakukannya kerana mereka melihat datuk, nenek, ibu, bapa dan masyarakat sekeliling melakukannya.

10 Lama kelamaan apa yang mereka lakukan telah bertukar menjadi satu kepercayaan bahawa itulah yang betul dan patut mereka pertahankan.

11 Anak-anak pula melihat apa yang telah ibu bapa mereka lakukan. Kadang-kadang mereka tidak mempunyai pengetahuan pun tentang apa yang mereka percaya baik. Kebanyakannya hanya main rasa-rasa, sangka-sangka dan agak-agak sahaja

12 Jika ramai ahli sesebuah organisasi hanya menurut kosong tanpa ada pengetahuan, organisasi itu tidak akan berupaya dibantu. Organisasi yang tidak dibantu oleh ahli-ahlinya yang berilmu tidak akan mampu mendepani cabaran semasa dan mendatang.

13 Banyak contoh yang membuktikan masyarakat kita bukan ikut Nabi, tetapi mengikut peribadi yang paling hampir dan sangat berpengaruh kepada diri mereka. Peribadi itu mungkin guru mereka atau datuk, nenek, ibu, bapa, imam, dan sesiapa sahaja yang begitu dominan terhadap kehidupan mereka.

14 Pendek kata apa yang orang-orang ini percaya, mereka percaya. Begitu juga apa yang orang ini telah buat, mereka pun buat. Hanya setakat itu. Noktah.

15 Dalam maksud yang lain mereka sekadar ikut-ikutan, dan bukan ada ilmu tentangnya. Dan kalau ada pun sedikit sekali. Contohnya berkahwin sehingga empat. Ramai lelaki yang melakukannya kerana telah melihat datuk, ayah dan kawan mereka berkahwin empat. Tetapi jika ditanya, mereka akan menjawab Nabi pun kahwin empat.

16 Begitu juga kita percaya ayat al-Quran ada 6666 ayat, sebab itu yang diberitahu kepada kita. Tetapi berapa ramai yang membilangnya satu persatu.

17 Satu contoh lagi yang bersangkutan kepercayaan bermazhab. Kita berkata yang kita penganut ahlussunnah wal jamaah(ASWJ) dengan fekah Syafie menjadi pegangan kita. Tetapi pernahkah kita menatap kitab al-Umm, kitab yang menjadi pegangan pengikut Syafie.

Hakcipta: