Mahaguru saya dalam bidang sosiologi, asy-Syahid Dr Ali Shariati dalam bukunya Man and Islam pernah berkata “sekarang bukanlah zaman untuk mempercayai sesuatu yang kita tidak tahu tentangnya”. Kepercayaan sahaja tanpa pengetahuan, kata sosiologist kelahiran Iran itu tidak mempunyai apa-apa nilai. Walaupun ingatan itu ditujukan kepada masyarakat Iran,namun saya ingin membawanya semula kepada masyarakat kita. Kita tak boleh  Nak Ikut kepada Pak Turut, termasuk dalam bidang politik. Jika ramai ahli  parti hanya menurut kosong tanpa ada pengetahuan, parti itu tidak akan berupaya dibantu. Parti yang tidak dibantu oleh ahli-ahlinya yang berilmu tidak akan mampu mendepani cabaran semasa dan mendatang. Banyak contoh yang membuktikan masyarakat kita bukan ikut Nabi, tetapi mengikut peribadi yang paling hampir dan sangat berpengaruh kepada diri mereka. Peribadi itu mungkin guru mereka atau datuk, nenek, ibu, bapa, imam, dan sesiapa sahaja yang begitu dominan terhadap kehidupan mereka. Pendek kata apa yang orang-orang ini percaya, mereka percaya. Begitu juga apa yang orang ini telah buat, mereka pun buat. Hanya setakat itu. Noktah. Dalam maksud yang lain mereka sekadar ikut-ikutan, dan bukan ada ilmu tentangnya. Dan kalau ada pun sedikit sekali. Contohnya berkahwin sehingga empat. Ramai lelaki yang melakukannya kerana telah melihat datuk, ayah dan kawan mereka berkahwin empat. Tetapi jika ditanya, mereka akan menjawab Nabi pun kahwin empat. Begitu juga kita percaya ayat al-Quran ada 6666 ayat, sebab itu yang diberitahu kepada kita. Tetapi berapa ramai yang membilangnya satu persatu. Satu contoh lagi yang bersangkutan kepercayaan bermazhab. Kita berkata yang kita penganut ahlussunnah wal jamaah(ASWJ) dengan fekah Syafie  menjadi  pegangan kita. Tetapi pernahkah kita menatap kitab al-Umm, kitab yang menjadi pegangan pengikut Syafie.