1 Selain menguatkuasakan peraturan yang sedia ada, saya telah merancang untuk membaca khutbah Jumaat di Masjid Kg Ekspo, Kamunting sebagai strategi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak di kawasan ini dan bagi mengurangkan kadar ponteng sekolah.

2 Jadi pada hari ini saya mengambil kesempatan untuk bersembahyang Jumaat di masjid yang terletak tidak jauh dari sekolah saya bertugas sekarang.

3 Saya mengambil keputusan untuk berjemaah di sana, bukannya untuk membaca khutbah tetapi bagi mendapatkan gambaran umum terlebih dahulu tentang keadaan di situ dan mendapat maklum balas daripada JK Masjid.

4 Lagipun pada petang ini saya perlu hadir satu mesyuarat pengurusan di sekolah dan selepas itu menyampaikan nasihat kepada pemegang Biasiswa Kerajaan Persekutuan (BKP) dari kalangan pelajar sesi petang.

5 Kali pertama menjijakkan kaki di masjid tersebut dan mendengar kuliah prakhutbah yang disampaikan oleh seorang ustaz; meneliti pengumuman aktiviti dan khutbah yang disampaikan oleh salah seorang imam di masjid itu memberi gambaran kepada saya golongan manakah yang mendominasi masjid tersebut dan arah aliran pemikiran imam-imamnya.

6 Sebelum itu saya sudah memberitahu seseorang di dalam masjid itu tentang hasrat saya untuk menemui pengerusi masjid selepas solat Jumaat.Tujuan saya ialah untuk mendapat keizinan daripada Pengerusi Masjid dan melihat reaksinya sebelum permohonan untuk menyampaikan khutbah Jumaat saya kemukakan.

7 Kira-kira sebulan yang lalu saya sudah mendengar cerita daripada beberapa orang yang saya temui tentang situasi masjid tersebut, tetapi kali ini saya benar-benar merasai sendiri suasana rumah Allah yang didirikan oleh pihak kerajaan dan kelantangan khatib yang menyampaikan khutbah.

8 Benarlah gambaran yang diberikan kepada saya tentang suasana masjid di situ dan tiba-tiba sahaja kemahuan saya untuk menyampaikan khutbah Jumaat semakin kuat.

9 Kalau khatib pada hari ini membawa ahli jemaah ke luar dengan suara yang begitu lantang menyebut tentang politik kepeartiansambil menyindir pemerintah yang konon-kononnya tidak sukakan ulama’ mentadbir negeri dan negara, saya pula bercadang untuk bercakap dalam bahasa yang paling sopan, bernada sedikit lembut tentang perkara asas yang paling dekat dengan masyarakat di kawasan itu, iaitu tentang peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak dan membantu mereka mencari jalan bagaimana masalah ponteng sekolah boleh ditangani dengan baik.

10 Saya ingin mereka berkongsi hasrat dengan pihak sekolah dan merasai sendiri betapa seriusnya pihak sekolah untuk membantu mereka dan anak-anak mereka dalam dunia pendidikan.

11 Saya mahu berkongsi hasrat betapa keghairahan kita bercakap tentang kesalahan orang lain, menyebabkan kita alfa bahawa kita juga telah melakukan kesalahan kerana tidak menjaga sebaik-baiknya apa yang sedia ada pada kita, iaitu anak-anak kita.

12 Sekolah dan segala kemudahan telah disediakan sebaik-baiknya oleh pihak kerajaan, namun menjadi tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat setempat pula mengimarahkan sekolah dengan memastikan anak-anak mereka memberi keutamaan kepada pelajaran daripada yang lainnya serta datang ke sekolah pada setiap hari.

13 Saya tahu saya pendatang baru di situ, dan tugas ini bukanlah ringan namun dalam dunia pendidikan saya bukan baru. Saya tahu apa keutamaan di kawasan itu dan kepelbagaian strategi yang wajar digunakan.

14 Saya tahu keutamaan di kawasan itu bukanlah politiking yang berpanjangan dengan terus menerus mencari salah sesiapa tetapi ialah dorongan, belaian dan bimbingan berterusan yang dilakukan secara ikhlas kepada pelajar dan masyarakat setempat agar mereka tahu yang mana yang patut menjadi keutamaan dan yang mana pula perlu di kesampingkan sahaja; yang mana yang sepatutnya diterima sebagai intan dan yang mana batu sahaja.

15 Sebelum pulang saya berkesempatan menemui Timbalan Pengerusi Masjid dan menyampaikan hasrat saya itu. Nampaknya dia menyambut baik hasrat saya itu.

16 Saya berjaya meyakinkan beliau bahawa saya hanya akan bercakap tentang pendidikan dan di sekitarnya, dan tidak lebih dari itu sebab setahu saya masjid di Perak beberapa lama sebelum ini memang tidak pernah menjadi gelanggang oleh khatib melampiaskan kecenderungan politik kepartian. Cuma ia terjadi sekarang ini.

17 Saya hanya akan meminjam telinga ahli jemaah selama beberapa minit untuk mendengar suara tentang pendidikan dan keperluan tentang pendidikan itulah yang lebih diperlukan di sini.

18 Saya sempat memberitahu hal ini kepada Pengetua saya sebelum mesyuarat pengurusan dimulakan kira-kira jam 2.45 petang. Tetapi saya beritahu beliau surat kepada Pengerusi Masjid itu akan melalui beliau.

19 Selepas beberapa minit memulakan mesyuarat tiba-tiba sahaja hujan petir berdentum dengan kuat sekali selama beberapa kali kemudian diikuti oleh hujan.

20 Selepas itu saya mendapat berita banyak lintar pintas berlaku, pokok yang tumbang dan beberapa kerosakan berlaku.

21 Kepada siapa amaran diberi? Hanya Allah yang tahu? Mungkin Allah memberi amaran kepada seseorang yang lebih mengetahui tentang apa yang sepatutnya perlu dituturkan dan dengan cara mana perkara baik patut dipersembahkan agar tiada hati umat Islam yang terluka kerananya.

22 Mudah-mudahan masjid sebagai rumah Allah akan terus dikunjungi tanpa rasa bersalah dan perasaan berbelah bahagi.

23 Dan kini saya semakin sedar mengapa saya dihantar ke sini dan dengan izin Tuhan GuruBashid tidak akan menundur lagi.
Hakcipta Abd Bashid Harun