Saya berbangga dengan ustaz dan ustazah di sekolah saya. Mereka bukan sahaja memiliki pengetahuan agama yang mencukupi, tetapi mereka turut berkemahiran dalam bidang komputer dan ICT. Mereka adalah guru agama yang masih muda, cukup bertenaga, penuh cita-cita dan bermotivasi tinggi. Seorang bertindak sebagai guru penasihat ICT yang tenaganya turut digunakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah dalam program-program tertentu, seorang lagi menjana jadual waktu dan seorang lagi adalah kaunselor sekolah. Yang lebih penting kemahiran yang mereka miliki ini turut dikongsi bersama pihak sekolah. Mereka tidak lokek berkongsi ilmu dan membantu sekolah dengan kemahiran yang sedia ada. Inilah jenis Guru Pendidikan Islam atau lebih mudah disebut guru agama yang dikehendaki oleh negara. Guru agama  selalunya dikaitkan dengan stigma negatif. Sebahagin daripada mereka dikatakan mengajar stail berceramah dan berkuliah. Segelintir lagi dikatakan “sedikit slow” melaksanakan arahan tertentu. Sebahagian mereka pula turut dikatakan mempunyai pemahaman yang agak ekstrim serta turut dikaitkan dengan pihak pembangkang.Bilangan mereka yang sebegitu mungkin tidak ramai, tetapi oleh kerana mereka memakai baju “guru agama” maka orang ramai ingin melihat sesuatu yang perfect daripada mereka sejajar dengan pengetahuan Islam yang mereka miliki yang mengaitkan Islam dengan kesyumulan dan kecemerlangan.Tetapi saya percaya guru agama yang ada sekarang adalah guru agama yang bukan sahaja memiliki ilmu agama yang mendalam dan sentiasa diberi nilai tambah, malahan mereka mempunyai pelbagai kemahiran yang lain yang turut dimanfaatkan oleh pihak sekolah. Bukan mudah sebenarnya menjadi guru agama.Orang ramai mengharapkan sesuatu yang lebih daripada anda. Orang ramai mengharapkan anda perfect dan tidak akan tergelinciir walau sedikit pun. Saya sendiri pernah melaluinya untuk tujuh tahun semasa saya di Sabah. Malahan pernah diberi kepercayaan untuk menerajui sebuah kesatuan Guru Pendidikan Islam selama 5 tahun. Semasa itulah saya sedar tanggungjawab kita bukan sahaja besar, tetapi berat.Di sekolah kita diberi pelbagai kepercayaan dan tanggungjawab, di luar kita mungkin bertindak sebagai imam, khatib atau AJK masjid.Kita juga mungkin menjadi anggota komuniti setempat dan banyak lagi. Orang ramai bukan sahaja sentiasa melihat, tetapi membuat penilaian ke atas kita dan kerja-kerja kita. Sebab itu saya suka mengingatkan seluruh guru agama di mana jua mereka berada, baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah, sekali anda mengenakan pakaian “Guru Agama” , anda tidak dapat menanggalkannya lagi sampai bila-bila.Harapan sekolah, masyarakat dan negara kepada anda begitu besar.Oleh itu  jadilah contoh terbaik dalam apa jua bidang yang anda turut serta di dalamnya.Hakcipta GuruBashid