” KITA tak boleh kawal gereja, tetapi kita boleh kawal orang-orang kita sendiri.Kita boleh jaga masjid dan surau kita daripada dimasuki oleh orang bukan Islam,” GuruBashid

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

1 Memandangkan terlampau banyak musibah yang menimpa umat Islam sejak akhir-akhir ini yang berpunca daripada keputusan mahkamah membenarkan penggunaan nama Allah di gereja, maka saya berpendapat adalah perlu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai hukum orang-orang Islam yang masuk ke gereja dalam kadar yang segera agar tidak ada pihak yang menyalahgunakan hujah kekebasan beragama yang terkandung dalam perlembagaan negara.

2 Umat Islam harus tahu sempadan-sempadan tertentu bagi mengekalkan kejatian diri mereka sebagai orang Islam dan memelihara kesucian agama Islam. Mereka tidak boleh secara semberono melakukan sesuatu tanpa mengambil kira kesannya ke atas agama dan umat Islam seluruhnya.

3 Tolak ansur dan keterbukaan yang diberikan oleh agama Islam dalam menjaga hubungannya dengan penganut agama lain tidak sewajarnya sampai menghilangkan apa yang telah sedia ada daripada umat Islam itu sendiri.Tolak ansur dan keterbukaan itu harus tidak sampai menafikan tentang fakta bahawa memang wujud perbezaan antara cara hidup orang Islam dengan cara hidup orang bukan Islam.

4 Dalam menghadapi situasi semasa yang penuh dengan perangkap fitnah dan kekeliruan yang mudah menjatuhkan umat Islam kepada jurang kebinasaan, setiap umat Islam hari ini bukan sahaja memerlukan pemahaman agama yang jelas dan aqidah yang mantap, tetapi juga menuntut kebijaksanaan yang tidak terbatas daripada mereka, selain berwawasan dan memandang jauh ke akar umbi masalah. Kriteria itu diperlukan agar mereka tidak mudah membuat satu-satu keputusan yang bakal merugikan dirinya sebagai umat Islam dan agama Islam dalam jangka panjang.

5 Setiap orang Islam hendaklah menyedari bahawa setiap perkataan, perlakuan dan keputusan yang mereka buat bukan sahaja memberi kesan ke atas dirinya sahaja, sebaliknya akan turut memberi kesan kepada umat Islam yang lain dan agama Islam itu sendiri. Selagi perkara itu melibatkan agama islam dan umatnya, perkara itu tidak boleh dianggap ringan dan dipandang mudah.Tidak ada yang remeh jika ianya berkaitan dengan Islam.

6 Sebab itu umat Islam bertanggungjawab menjaga nama baik agama dan umat Islam daripada tercemar atau sampai dipergunakan oleh orang lain yang mempunyai niat jahat untuk mencemarkan kesucian Islam, melemahkan kesatuan umat dan cubaan memesongkan umat Islam daripada tali aqidah dan amalan sebenar.

7 Kejadian di Pulau Pinang yang melarang penggunaan pembesar suara ketika membacakan al-Quran di masjid atau surau pada waktu Subuh adalah satu petaka ke atas umat Islam untuk jangka panjang walaupun ada pihak yang mahu menjadikan itu sebagai alasan bagi menunjukkan bahawa toleransi dan keterbukaan begitu digalakkan oleh Islam.

8 Kalau ada pun larangan seumpama itu, ia sewajarnya bersifat terpencil dan dikeluarkan atas kepentingan semasa.Tetapi apa yang sangat menyedihkan seluruh umat Islam ialah tentang larangan mengenainya telah pun dikeluarkan oleh oleh pihak yang bertanggungjawab dalam memelihara aagama Islam tanpa kajian yang mendalam.Larangan yang seumpama itu membawa implikasi yang bukan sedikit selepas ini ke atas umat Islam di negeri ini.

9 Tidak boleh disangkal tentang kemungkinan yang larangan ini akan dijadikan kes rujukan dan sandaran untuk kes-kes seumpama itu di kemudian hari, sama ada di Pulau Pinang sendiri mahu pun di negeri lain di bawah tadbiran pakatan pembangkang.

10 Ternyata larangan tersebut tidak membawa kerugian apa-apa ke atas penganut agama lain, sebaliknya satu daripada amalan baik dan terpuji yang menjadi kebiasaan umat Islam terpaksa ditiadakan hanya kerana menjaga hati penganut agama lain.

11 Adakah selepas ini pihak gereja atau kuil atau mana-mana persatuan agama selain agama islam akan akur sekiranya larangan penggunaan jalan raya untuk tujuan-tujuan keagamaan seperti perarakan tokong dikeluarkan. Bukankah amalan itu boleh menjejaskan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.

12 Maka sebelum Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut, adalah perlu satu larangan atau perintah rasmi bersifat sementara dikeluarkan untuk melarang mana-mana individu Islam daripada mengunjungi mana-mana gereja tanpa kebenaran pihak berwajib.

13 Begitu juga adalah perlu dikeluarkan larangan ke atas mana-mana indvidu bukan Islam membacakan ayat-ayat suci al-Quran atau hadis-hadis rasulullahs.a.w di majlis-majlis tertentu, apatah lagi di majlis yang dihadiri oleh ramai orang.

Hakcipta Abd Bashid Harun