Adakah ucapan salam itu sejenis do’a?
Ya, salam itu memang sejenis do’a. Kita mendo’akan keselamatan dan kesejahteraan saudara kita se-Islam. Apabila kita mengucapkan salam seperti assalamu’alaikum atau assalamu’alaikum warahmatullah atau lebih baik lagi assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh ia membawa maksud kita mendo’akan akan keselamatan dan kesejahteraan serta rahmat Allah ke atas saudara seagama dengan kita. Kita mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja di kalangan saudara se-Islam yang kita temui sekalipun kita tidak mengenalinya.
Ucapan itu sama di seluruh dunia. Baik dia orang Islam di China mahupun umat Islam di negara-negara Arab; baik umat Islam di Eropah mahupun umat Islam di India; baik pada waktu pagi atau malam; baik di daratan mahupun di lautan hatta di angkasa lepas pun, ucapan itu tetap sama, iaitu assalamu’alaikum.
Sesiapa yang lebih dahulu mengucapkan salam merekalah yang lebih baik. Nabi Muhammad s.a.w sentiasa mendahului dalam memberi salam. Kita memberi salam setiap kali kita bertemu. Jika dalam sehari kita bertemu lima kali bererti lima kalilah kita memberi atau menjawab salam. Sesungguhnya memberi salam itu sunat hukumnya tetapi menjawab salam itu wajib.
Adakah salam yang sedemikian itu dikhususkan untuk orang Islam?
Sudah pasti. Salam yang bererti selamat dan sejahtera itu dikhususkan untuk orang Islam. Hanya orang Islam yang patut dido’akan dengan keselamatan dan kesejahteraan. Dan hanya salam orang Islam yang wajib dijawab. Islam mengajar kita jika seorang muslim mengucapkan selamat ke atas kita, kita patut membalasnya dengan ucapan yang lebih baik dengan berkata selamat sejahtera serta rahmat Allah ke atas kamu. Jika orang ucap selamat sejehtara dan rahmat Allah ke atas kamu, kita patut membalasnya dengan berkata salam sejahtera serta rahmat dan kerberkatan Allah ke atas kamu. Begitulah baiknya hubungan antara orang Islam yang digambarkan melalui ucapan salam itu.
Bagaimanakah jika si kafir mengucapkan salam ke atas kita?
Ingat perbuatan baik si kafir bukan suatu adat dan jauh sekali sebagai ibadat. Sekalipun si kafir zimmi atau harbi bermaksud mahu mendo’akan kesejahteraan kita, do’anya itu tidak terpakai sebab ketika melakukannya dia masih seorang kafir. Maksudnya amalan baik seorang kafir tidak diterima oleh Allah sekalipun amalan itu untuk kebaikan orang Islam.
Sebab itu Islam telah lama menggariskan kaedah dalam hal ini. Apabila kita mendengar ucapan salam seorang kafir memadai kita diam sahaja. Dalam menjaga hubungan persahabatan apa yang boleh kita lakukan ialah diam dan melontarkan senyuman atau menggunakan apa-apa bahasa badan.
Jika kita mahu menjawab salam itu juga dibenarkan. Tetapi sekadar menyebut assamu’alaikum yang tidak mempunyai apa-apa maksud mendo’akan kesejahteraanya.Itulah yang telah diajar kepada saya oleh guru-guru saya semasa saya kecil hingga sekolah menengah. Mengenai ucapan salam itu, saya tidak pernah diajar lain dari itu.Saya tidak percaya si Kariya tidak diajar tentang hal itu.
Bolehkah kita mendo’akan kesejahtaraan dan keselamatan orang bukan Islam?
Tentulah tidak boleh sebab do’a seperti itu dikhususkan untuk orang Islam baik yang mengucapkannya mahupun yang membalasnya. Kita boleh berdo’a agar yang bukan Islam itu diberi hidayah untuk menerima Islam, bukan mendo’akan kesejahteraan dan keselamatannya.
Selagi seseorang itu dalam kekafirannya dia tidak layak menerima apa-apa do’a kesejahteraan dan keselamatan daripada mana-mana orang Islam. Sebab yang dimaksudkan dengan keselamatan dan kesejehtaraan itu ialah di dunia dan di akhirat.
Bagaimanakah jika dia dalam perlindungan atau jaminan kita contohnya kafir zimmi?
Jika dia di bawah perlindungan atau jaminan kita, dia wajib mendapat jaminan keselamatan dan perlindungan seperti yang wujud dalam dasar hubungan antara orang Islam dengan kafir zimmi dalam perlembagaan (seperti dalam sahifah Madinah dan perlembagaan Malaysia) tetapi bukan sampai mendo’a akan kesejahtraraan dan keselamatannya. Jika dia sudah menerima Islam barulah dia layak menerima ucapan salam atau do’a keselamatan dan kesejahteraan.
Bagaimanakah dengan do’a untuk seseorang yang bukan Islam melalui khutbah Jumaat?
Jika do’a paling ringkas seperti salam itu ditegah ke atas orang yang bukan Islam, tentulah mendoakan seseorang yang bukan Islam seperti dalam Khutbah Jumaat lebih-lebih lagi tidak diharuskan malahan termasuk perkara syubhah yang lebih baik dihindari sejak dari awal.Jika anda mahu mendo’akannya memeluk Islam pun bukan di tempat dan majlis seperti ini.
Rasulullah s.a.w pernah mendo’akan agar seseorang bukan Islam memeluk agama Islam. Tetapi baginda tidak pernah melakukan walau pun sekali dalam khutbah Jumaat, khutbah hari Raya mahupun khutbah yang dikhususkan kepada orang Islam. Doa seperti itu hanya tercatat dalam beberapa kalimat menyeru agar dia diberi hidayah melalui surat, utusan diplomasi dan surat yang memberi kata dua sebelum peperangan dilancarkan. Ternyata sekali mendo’akan seseorang bukan Islam untuk memeluk agama Islam adalah dibenarkan tetapi dilakukan oleh seseorang individu, bukan dalam kumpulan ramai. Contohnya mendo’akan seseorang selepas solat.
Bagaimana pula yang berlaku di Pulau Pinang itu?
Jika semua pandangan di atas diambil kira perbuatan itu terang-terang salah lagi berdosa. Ia boleh menjatuhkan maruah orang Islam dan menimbulkan kekeliruan kepada ajaran Islam itu sendiri. Apa yang berlaku di Pulau Pinang itu ialah si Kariya bukan sahaja mendo’akan kesejahteraan Lim Guan Eng seorang yang terang-terang bukan Islam, tetapi meninggalkan orang Islam sendiri dalam do’anya seperti kepada Yang DiPertuan Agung.
Si Kariya terang-terang meninggalkan do’a kepada YDP Agung selaku Ketua Negara dan Ketua Agama, tetapi mengambil Guan Eng sebagai gantinya. Sungguh aneh perbuatannya itu. Perbuatan itu boleh menjatuhkan umat Islam kepada fitnah dan orang jahil akan lebih keliru tentangnya.
Tafsiran orang awam terhadap perbuatan si Kariya itu ialah Guan Eng itu lebih baik dari segi agamanya, amalannya dan akhlaknya daripada YDP Agung sendiri sehingga ia lebih layak untuk mendapat doa itu di masjid dan di dalam khutbah Jumaat.
Bukankah ini juga sudah jelas melanggar kebiasaan kita?
Sayugia diingat jika kita mengambil kebiasaan khutbah di negara ini yang kita do’akan secara khusus dengan menyebut namanya ialah ketua agama. Sultan-sultan adalah ketua agama di negeri masing-masing. Dan YDP Agung pula ialah ketua agama bagi persekutuan Malaysia dan bagi negeri-negeri yang tiada sultan atau raja seperti di Pulau Pinang.
Tidak pernah selama ini dalam khutbah Jumaat nama Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri disebut secara khusus walhal jika mahu menyebut nama mereka pun tentulah lebh afdhal sebab mereka masih beragama Islam dan orang penting juga. Jadi apa yang dilakukan oleh si Kariya bertentangan dengan kebiasaan khutbh di negara ini, apatah lagi dengan menyebut nama Guan Eng yang ternyata kafir itu.
Jika si Kariya mahu mendo’akan juga orang Islam yang lain masih ramai di sana yang boleh dido’akan termasuk ketua-ketua dalam parti beliau sendiri. Tetapi dia seperti sudah sengaja mahu menyebut nama Guan Eng sahaja.
Barangkali ada kalangan mereka sudah mengiktiraf Lim Guan Eng itu khalifah?
Itulah sebabnya barangkali yang si Kariya berkeyakinan penuh mendo’akan kesejahteraan dan keselamatan Lim Guan Eng itu dan majoriti di bawah pun mengaminkannya. Oleh kerana dalam satu masa hanya ada seorang khalifah, maka cukup besar kedudukan Lim Guan Eng itu di sisi Kariya. Ia bukan sahaja mengatasi orang Islam yang lain tetapi juga termasuk tokoh-tokoh besar Islam di dunia, termasuk juga pemimpin-pemimpin mereka yang terpaksa akur untuk “berkhalifahkan” Lim Guan Eng.
Kariya kata dia mendo’akan agar Lim Guan Eng suatu hari diberi hidayah untuk terima Islam, tetapi jauh sebelum itu mereka sudah mengiktiraf dia adalah khalifah.
Hakcipta Abd Bashid Bin Harun











No user commented in " Do’a Kesejahteraan Dan Keselamatan Khusus Untuk Orang Islam "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply