1 Apabila seorang ulamak mengeluarkan hukum, ia mengutamakan al-Quran daripada yang lain-lainnya. Jika dalam al-Qura’n itu sudah ada ayat lain yang menghuraikan ayat yang satu lagi sebagai memperjelaskan hukum, maka ia akan mendahulukan ayat itu berbanding hadith.

2 Sekiranya ada ayat dalam al-Quran sudah dimansuhkan hukumnya oleh satu ayat yang lain, maka pemansuhan itu masih terpakai sekalipun ada hadith yang membenarkan atau membukanya kembali. Kaedah seperti ini sentiasa menjadi pakaiannya atas alasan hadith tidak boleh membatalkan atau memansuhkan al-Quran.

3 Disebabkan begitu banyaknya hadith dan ada hadith yang dimanipulasi untuk kepentingan politik dia sangat berhati-hati dalam memilih hadith apabila hendak digunakan sebagai sandaran atau hujah kerana sebab-sebab kemunculan hadith dan suasana ketika itu akan turut menjadi pertimbangannya. Ia cuba menghindari daripada sikap memborong dan mengutip semua hadith dan peristiwa untuk merujuk atau membenarkan sesuatu kes semasa.

4 Dia ialah seorang pewaris nabi yang sangat menjaga fatwa dan hukum yang hendak dikeluarkan. Dia sentiasa mencari punca dan suasana ketika sesuatu hukum atau fatwa itu patut dikeluarkan.

5 Dia tahu bila hendak membukanya dan bila pula hendak menutupnya. Jika ia membukanya ia melihat terlebih dahulu kepada tahap pemahaman golongan awami di tempatnya lalu ia membuka sekadar yang mampu tercapai oleh pemahaman golongan awam itu.

6 Ia sangat menjaga fitnah lisan dan tulisan termasuk hukum atau fatwa yang muncul daripada mulutnya. Ia amat jelas antara hukum dan fatwa dengan pandangan peribadinya. Jika itu pandangan peribadinya, ia akan kata itu pendapatnya. Jika itu hukum atau fatwa, ia akan mengatakan itu adalah hukum atau fatwa, selain menjelaskan sumber ambilannya.

7 Ia tidak akan memborong kesemua yang dikeluarkan daripada mulut Nabi s.a.w sebagai dalil atau hukum.Ia tidak akan membiarkan orang ramai mencari sendiri maksud percakapannya, sebaliknya ia akan membantu memperjelaskannya.

8 Ia akan menghindari sedapat mungkin daripada mengeluarkan ungkapan atau kata yang samar-samar atau ayat-ayat yang tergantung dan terlalu umum bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang awam.

9 Jika al-Quran ada asbabun nuzulnya, hadith sebagai sumber hukum tentulah akan ada sebab-sebab dan suasana ia diungkapkan. Semua ini sentiasa menjadi pemerhatian dan pertimbangannya agar tidak diborong pemakaian hadith sebagai sumber hukum untuk semua perkara dan semua keadaan.

10 Ia sentiasa berusaha mengekalkan sifat kewarakannya selain kezuhudannya dengan sentiasa menghindari orang-orang yang ada kepentingan tertentu kerana ia takut dirinya terdedah kepada bahaya fitnah.Ia akan mengelakkan tindakan-tindakan populis, jauh sekali untuk menjual dirinya.

11. Ia hanya mahu mengambil yang jelas dan terang sahaja sebagai bukti serta menghindari daripada perkara-perkara yang samar-samar, yang mengelirukan dan yang dikhuatiri akan jatuh kepada pertikaian awam.

12. Jika sesuatu kenyataan yang dikeluarkan olehnya itu boleh menimbulkan fitnah ke atas umat Islam, ia cepat-cepat menghindarinya. Ia sentiasa bersikap tegas dengan hukum dan fatwa yang dipegangnya demi menjaga kemaslahatan umat dan kesucian agamanya.

13 Ia tidak bersikap longgar dalam hal-hal agama dan amalannya kerana ia tahu kelonggaran yang diberikan itu terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi mereka yang berkepentingan.

14 Ia sentiasa berpegang kepada pohon dan batang, dan sedaya upaya cuba mengelak daripada berpaut pada dahan dan ranting. Ia dapat membezakan yang mana pokok dan yang mana cabang. Yang mana menjadi keutamaan dan yang mana harus disingkirkan sahaja.

15 Ia bukan menjadi tukang kutip hukum dan pemungut cerita-cerita berkaitan sahabat dan ulama’ silam, tetapi ia memilih yang mana antara sahabat dan ulama’ itu sesuai untuk dijadikan contoh dalam kes yang sedang menjadi rujukannya.

16 Ia menghormati mazhab yang menjadi pegangan majoriti penduduk di tempatnya, dan sebarang hukum, fatwa, dalil dan fakta yang digunakan sentiasa akan mengambil kira faktor ini. Jika penduduk di suatu tempat itu majoritinya berpegang kepada mazhab Syafie, maka ia akan mengutamakan hukum atau fatwa yang berdasarkan kepada Mazhab itu.

Hakcipta Abd Bashid Harun