Allah s.w.t. memiliki 99 nama. Daripada 99 nama itu dua daripadanya begitu kerap disebut sewaktu kita membacakan kalimat basmallah. Dalam kalimat basmallah yang kita baca sewaktu membaca ummul kitab, al-Furqan dan sewaktu memulakan kerja kita selalu menyebut dua nama Allah ini yang juga merupakan sifat-sifat-Nya. Kedua-duanya ialah ar-Rahman dan ar-Rahim.

Ar-Rahman bermaksud Maha Pemurah dan ar-Rahim pula bermaksud Maha Penyayang. Walaupun sifat-sifat ini berpunca daripada Yang Satu, namun kedua-dua sifat al-Khaliq ini diaplikasikan kepada golongan yang berbeza. Allah bersifat ar-Rahman kepada semua orang, termasuk kepada orang-orang kafir. Atas sifat itulah sesiapa sahaja boleh menjadi kaya raya atas daya usahanya sekalipun hubungannya dengan Tuhan berstatus sifar.

Tetapi Allah hanya bersifat penyayang (rahim) kepada hamba-hambanya yang tertentu di kalangan orang Islam dan beriman. Kerana Dia sayangkan orang-orang Islam, Dia semacam berpada dengan pemberian-Nya supaya pemberian-Nya itu tidak disalahgunakan dan melalaikan.

Sebab itu orang Islam yang hidup sederhana walaupun telah bekerja keras untuk menjadi kaya raya janganlah berasa masyghul kerana itu mungkin petunjuk yang Allah menyayanginya. Allah lebih tahu akan hamba-hamba-Nya. Mungkin jika Allah melimpahkan kekayaan kepada si polan bin si polan, si polan itu akan menderhaka kepada-Nya. Jika dengan kemisikinan yang Allah berikan kepada hamba-Nya menjadikan hamba-Nya itu lebih taat, lebih baiklah Dia tidak menjadikan hamba-Nya itu orang yang kaya.

Satu ungkapan yang mungkin mententeramkan semua orang ialah: tidak semestinya yang Allah beri banyak itu Allah sayangkannya dan tidak semestinya yang Allah beri sedikit itu Allah menyisihkannya. Sama sekali tidak.

Analogi yang terbaik untuk menjelaskan semua ini ialah seorang anak kecil yang kerap meminta wang daripada ibunya untuk membeli makanan yang digemari. Mula-mula lalu penjual aiskrim, anak itu meminta daripada ibunya wang. Ibu dengan nada yang lembut memberi wang 50 sen kepada anaknya sambil berkata nak, ini wangnya, belilah.

Selepas itu lalu pula penjual roti, anak itu meminta lagi wang daripada ibunya. Ibunya memberikannya seringgit, tetapi dalam nada yang sedikit tinggi dia berkata, nah RM1.00. Tak cukup-cukup.

Kali ini lalu pula penjual putu mayam. “Mak! mintak duit, saya nak beli putu mayam,” kata anak itu. Mak mula berang dengan sikap anaknya. Setelah menghulurkan RM2.00 kepada anaknya dia lalu berkata, “Nah RM2.00, pergi jauh dari sini!”.

Ternyata apabila anak tadi mendapat sedikit, ibunya memberikannya dalam keadaan gembira dan penuh kasih sayang. tetapi apabila anak itu mendapat banyak, ibu itu dalam keadaan murka sambil berpaling daripadanya. Saya kira analogi ini jelas untuk menggambarkan perbezaan antara rahman dan rahim Allah.

Wallahua’lam.Hakcipta Abd Bashid Harun