SEJAK di bangku sekolah rendah lagi, saya lebih ditonjolkan sebagai seorang pemidato atau pembahas, tetapi untuk menyampaikan pendapat, saya lebih suka menulis. Barangkali itulah salah satu sebab yang mendorong saya membina situs saya sendiri seperti GuruBashid Dot Com ini. Saya pernah aktif menulis dalam akhbar tabloid seperti Harian Nasional dan Mingguan Tanahair sewaktu saya mengambil ijazah pertama di Universiti Malaya. Malahan saya dilantik sebagai Ketua Pengarang untuk lidah rasmi Asrama Pertama atau Asrama Tuanku Abdul Rahman yang lebih dikenali dengan paggilan Astar. Di sinilah saya membina pengaruh dan hubungan melalui tulisan saya dalam kolum lidah pengarang. Yang menghairankan, di sinilah saya pernah menghasilkan dua buah puisi dan kedua-duanya memenangi Anugerah Astar. Saya masih ingat tajuk puisi saya itu, iaitu Hadiah Hari Lahir dan Peristiwa di Suatu Pagi. Selepas itu saya tidak pernah menulis puisi lagi sehinggalah saya menjadi penuntut NPQH di IAB, Genting Highlands pada tahun 2002. Di tanah tinggi itu saya menghasilkan sebuah puisi yang diberi tajuk Ayat Yang Hilang. Puisi terbaru ini dibukukan bersama puisi saya terdahulu dan puisi-puisi sahabat saya dalam antalogi IAB. Saya tidak begitu pasti, bilakah puisi keempat saya dapat dihasilkan. Kecenderungan saya nampaknya lebih kepada penulisan artikel atau esei. Walaupun banyak esei saya disiarkan dalam dua akhbar tabloid yang saya sebutkan awal-awal tadi, saya hanya berpuas hati apabila tulisan pertama saya disiarkan dalam akhbar nasional, Utusan Melayu (UM) dan Utusan Malaysia pada tahun 1989 dalam ruangan Mimbar Jumaat. Saya sendiri sudah terlupa tarikhnya kerana saya memiliki tabiat yang kurang baik iaitu tidak suka menyimpan apa yang saya tulis. Tetapi saya masih ingat, gambar yang digunakan oleh UM ialah gambar seorang Arab berjubah dan berserban sambil menunggang kuda dan di tangannya memegang sebilah pedang. Dalam tulisan satu muka surat itu, saya cuba menimbulkan sebanyak mungkin keraguan di hati pembaca atas tindakan Puan Khadijah Am, isteri pengasas pertubuhan itu yang mencanangkan secara berlebih-lebihan asset dan rangkaian yang ada pada pertubuhan Darul Arqam dalam setiap tulisan beliau. Malahan saya cuba menimbukan kesangsian di kalangan pembaca terhadap ustaz Asha’ari yang ditonjolkan secara berlebih-lebihan oleh isteri beliau lewat tulisan beliau. Tegasnya saya cuba meramalkan apakah yang sedang cuba diusahakan oleh para pemimpin pertubuhan itu dan yang bakal berlaku pada pertubuhan itu, serta muslihat sebenar ustaz Asha’ari. Dalam tulisan saya itu saya turut meramalkan bahawa akhirnya yang dimaksudkan oleh Ustaz Asha’ari Muhammad sebagai Imam Mahdi itu ialah beliau sendiri. Di akhir tulisan saya itu, saya mencadangkan kepada pihak berwajib agar lebih berhati-hati kepada kegiatan pertubuhan berjubah hijau itu. Itu berlaku sembilan atau sepuluh tahun sebelum petubuhan itu diharamkan.
______________________________________________________________
SELAIN GuruBashid Dot Com Blog saya memiliki, GuruNiaga, Blog Guru Niaga, TaliTie, Tali-Kasih, Tie Heart, Info AdSense, Just Click,Look,Hear and Think, Kartun International dan EduClinic .Selain itu ada dua laman jualan yang memasarkan produk pendidikan,iaitu Pakej Guru Malaysia yang mengandungi Fail Meja Ketua Panitia dan Manual Prosedur Kerja dan Koleksi Artikel GuruBashid. Semuanya membawa tema yang berbeza. Semua laman itu adalah dalam bentuk blogspot.Saya kira blogspot adalah laman yang paling mudah dibuat dan sesuai untuk guru yang mengejar masa dan ingin sesuatu yang mudah. Blogspot tidak mengenakan sebarang bayaran dan anda boleh memilih template yang anda sukai. Malahan blogspot menawarkan pelbagai jenis template yang boleh ditukar ganti jika anda suka. Jika anda ingin mengubah suai warna, font, dan kedudukan iklan pada laman itu juga agak mudah. Hampir kelima-lima blog saya itu saya masukkan video google. Saya masukkan nyanyian dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Hindi dan Bahasa Arab. Nyanyian itu saya sesuaikan dengan kandungan blog saya. Video nyanyian itu sengaja dimasukkan untuk menarik pengunjung ke laman-laman tersebut. Kalau boleh saya mahu pengunjung saya bukan sekadar lalu sahaja di laman saya, tetapi turut lepak di sana. Sambil mereka mendengar lagu mereka dengan santai boleh membaca kandungan web saya. Dengan cara itu saya bukan sahaja membentuk pengunjung, tetapi pembaca dan akhirnya peminat blog saya.
_______________________________________________________________
MENGAPA GuruBashid? Mengapa tidak CikguBashid sahaja? Inilah antara pertanyaan yang diajukan kepada saya oleh rakan-rakan saya. Walaupun saya mempunyai kebebasan untuk memilih nama domain yang saya suka atas alasan bahawa pemilik blog/laman ini saya sendiri, namun untuk GuruBashid Dot Com saya tidak meletakkannya sesuka hati. Saya memilih GuruBashid setelah saya melakukan timbangtara dan benar-benar berpuas hati bahawa GuruBashidlah yang lebih sesuai sebagai nama domain untuk laman ini. Perkataan guru memang sudah wujud lama dalam bahasa Tamil. Begitu juga halnya dengan kata bashid yang wujud dalam bahasa Farsi atau Iran. Apabila anda menaip bashid dalam yahoo search terdapat begitu banyak laman yang menggunakan kata ini. Begitu juga dengan kata guru. Semacam satu kebetulan pula kerana saya seorang guru dan nama saya juga Bashid (Abd Bashid). ramai orang yang selalu berprasangka terhadap nama saya. Mereka menyatakan nama saya dieja salah. Sepatutnya Abd Rashid bukan Abd Bashid kata mereka. Wah nampaknya privacy saya dengan nama yang saya pilih tidak dihargai.Saya beritahu mereka ayah saya memang ingin meletakkan nama Abd Bashid, bukan Abd Rashid. Alasan bapa saya mudah, ia ingin saya menjadi seperti qari yang termasyhur di dunia, berasal dari Mesir, iaitu Syeikh Abd Baset Syeikh Abd Samad. Nampaknya cita-cita bapa tak kesampaian. Namun anaknya menjadi seorang guru, ya guru. Tentu tidak salah saya meletakkan nama domain GuruBashid. GuruBashid adalah satu pengiktirafan saya ke atas bekas guru-guru saya sejak dari sekolah rendah hinggalah ke universiti. Siapa guru anda? Ya guru saya ialah GuruBashid. Jika saya meletakkan cikgu bashid memang itu saya.Tanpa guru Bashid, cikgu Bashid tidak akan ada. Yang menjadikan cikgu Bashid sekarang ialah guru Bashid. Maka itulah sebabnya saya memberanikan diri meletakkan nama domain gurubashid. Mudah-mudahan GuruBashid benar-benar guru dalam apa yang diperkatakannya.
_________________________________________________________________
AL-HAMDULILLAH, tepat jam 8.00 malam, 8 Februari 2008 pengunjung laman ini sudah mencecah 8888 orang. Ini satu petanda baik kepada sebuah laman yang masih baru seperti GuruBashid Dot Com ini. Para pengunjung nampaknya benar-benar ingin tahu apa yang ada di GuruBashid Dot Com dan apa pula yang boleh mereka dapat setelah berkunjung ke sini. Tujuan ini memang disedari awal-awal lagi oleh kami sebab itu kandungan laman ini sentiasa ditambah dan wajah GuruBashid juga diberi sentuhan baru agar ia sentiasa segar di mata pengunjung. Fakta yang berkaitan dengan perundangan mungkin baru bagi kebanyakan guru, namun inilah fakta yang paling ingin diketahui oleh mereka. Sebab itu penulis yang berkelulusan Diploma National Programme Qualification for Headship (NPQH), IAB dan Sarjana Kepengetuaan (M.Princ), UM yang pernah didedahkan dengan perundangan dalam pengurusan sekolah memasukkan aspek perundangan dalam laman ini. Pentadbir sekolah dan guru-guru tentu ingin tahu tentang sejauh manakah tindakan mereka itu tepat dan menepati undang-undang. Mereka tentu tidak mahu terperangkap dalam situasi yang bakal mengundang diri mereka dikenakan tindakan tata tertib atau diseret ke mahkamah. Guru wajar melindungi dirinya daripada semua tindakan ini dengan cara mempelajari sesuatu yang berkaitan dengan perundangan ini. Justeru penulis akan berusaha memperbanyakkan aspek perundangan ini dalam laman ini. Penulis akan mengetengahkan kes-kes yang pernah melibatkan guru sama ada yang berlaku di dalam negara mahupun di luar. Di samping itu, pihak kami akan memetik semula Akta Pendidikan, Pekeliling Perkhidmatan Awam, dan lain-lain dokumen yang boleh dijadikan pegangan guru supaya pengetahuan guru dalam hal ini sentiasa diperbaharui.
___________________________________________________________
GuruBashid Dot Com ingin mengucapkan Selamat Datang kepada semua pengunjung Blog Panduan Guru-Guru Malaysia. GuruBashid Dot Com peneraju empat laman wordpress iaitu Panduan Guru-Guru Malaysia (Blog), Pakej Guru Malaysia (laman jualan), Koleksi Artikel GuruBashid (laman jualan) dan GuruBashid Dot Com/Tips (Blog) berazam untuk mengangkat martabat seluruh warga pendidik dengan membantu mereka secara berterusan melalui paparan input-input berguna yang berkaitan dengan pendidikan dari semasa ke semasa. Lontaran pandangan jauh, tajam, mendalam, bersifat semasa dan berorientasikan masa depan oleh Cikgu Abd Bashid Harun, pengasas GuruBashid Dot Com akan sentiasa memastikan GuruBashid Dot Com menjadi sebuah organisasi persendirian yang berupaya menyokong secara berterusan usaha-usaha memartabatkan profesionalisme keguruan dan bidang pendidikan di Malaysia. GuruBashid diharapkan mampu muncul sebagai blog berjenama pendidikan yang mampu mendokong aspirasi pendidikan negara dengan keupayaannya menjadi sumber rujukan primar semua warga pendidik di negara ini yang meliputi Pengetua/Guru Besar, Penolong-Penolong Kanan, Guru-Guru Kanan, Ketua Panitia dan Guru-Guru Penolong (Guru-Guru subjek). GuruBashid berikrar akan berdiri teguh di belakang kerajaan










