1 Saya tidak pernah memisahkan apa yang terjadi di dunia ini, termasuk di Malaysia daripada lingkungan ilmu dan iradat Allah yang maha mengatasi dan melampaui kehendak dan pengetahuan manusia.
2 Sebagai haiwan dari spesis yang boleh berfikir atau dalam disiplin ilmu mantiq disebut sebagai haiwanun natiq, manusia dengan segala kekuatan akal fikir selalu sibuk menunjuk pandai dengan pelbagai alasan dan rasional di sebalik sesuatu kejadian.
3 Tetapi sebagai makhluk yang terikat dengan sang Khaliq di mana gerak dan diam, hidup dan mati adalah dalam genggaman-Nya, kita mesti menyakini bahawa setiap yang terjadi walau sebesar zarrah tidak akan terlepas daripada kekuasaan-Nya.
4 Apabila Allah berkata jadilah maka akan jadilah. Begitulah Allah menunjukkan kuasa-Nya yang melampaui kuasa manusia termasuk para nabi meskipun dengan segala kemaksumannya dan para wali meskipun dengan segala karamahnya.
5 Begitulah halnya yang berlaku di negara kita. Telah ditakdirkan selepas PRU ke-12 lalu, telah wujud dua kerajaan yang berbeza, iaitu kerajaan pusat yang kekal diterajui oleh Barisan Nasional dan beberapa buah kerajaan negeri yang diterajui pembangkang.
6 Mula-mulanya saya agak keberatan menerima keputusan ini, tetapi setelah hampir dua tahun melaluinya dan melihat sendiri apa yang berlaku dalam tempoh tersebut, saya redha, akur dan bersyukur bahawa inilah keadilan Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya. Ada hikmah di sebalik keputusan itu.
7 Masakan tidak, wujudnya dua kerajaan dengan dua jenis perwatakan manusia yang berbeza dan dua cara urus tadbir kerajaan yang berlainan memberi peluang seluas-luasnya kepada orang ramai untuk membuat perbandingan.
8 Kalau dahulu kita amat sukar membuat perbandingan, tetapi sekarang perbandingan itu begitu jelas di depan mata dan anda sendiri dapat merasainya.
9 Kemenangan yang menjadi dambaan setiap manusia atau kekalahan yang cuba dihindari oleh sesiapa pun di kalangan kita, sebenarnya merupakan ujian daripada Allah ke atas manusia.
10 Bagaimana ada manusia yang diuji dengan kemenangan yang sedikit itu telah menyerlahkan sifat diri sebenar di sebalik tulisan, percakapan dan lagak bahawa mereka sudah cukup kuat lalu memandang pihak lawan begitu lemah dan boleh diperlakukan sesuka hati.
11 Maka pada waktu ini wajah sebenar mereka dijelaskan Tuhan kepada kita dengan kemenangan itu. Malahan bentuk diri mereka yang sebenar yang dahulunya masih samar pada pandangan, kini ditelanjangkan satu persatu untuk tontonan kita.
12 Kerana kemenangan yang sedikit itu mereka menjajanya ke sana ke mari sampai mereka terlupa yang kemenangan itu hanyalah ujian daripada Tuhan buat mereka. Di mana Allah mahu melihat adakah bikin mereka serupa cakap mereka; adakah mereka pemimpin Islam yang tekal dan ikhlas dengan perjuangan mereka dan bagaimana pendirian dan tindak tanduk mereka setelah mencapai kemenangan yang sedikit itu.,
13 Bezanya sesuatu ujian itu tidak akan diberikan kepada manusia di luar daripada batas kemampuannya. Atau dalam erti kata lain, manusia diuji menurut kadar kemampuan masing-masing. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.
14 Kerajaan BN diuji selama 52 tahun, pembangkang pula baru diuji selama dua tahun. DS Najib diuji oleh Satu Malaysia, sedangkan pembangkang diuji di beberapa buah negeri. Dan Nik Aziz sendiri hanya diuji di Kelantan.
15 Dalam tempoh 52 tahun tersebut kerajaan BN diberi sebuah negara untuk diurus tadbir, pembangkang pula dalam tempoh dua tahun itu diberi beberapa buah negeri.
16 Ketika Kelantan sebagai sebuah negeri majoriti Melayu kekal sebagai sebuah negeri di bawah penguasaan PAS sehingga Pilihan Raya Umum yang lalu, Johor pula dianggap negeri yang sangat kuat menjadi kubu kuat UMNO.
17 Dalam tempoh itu lahirlah di kalangan UMNO tokoh-tokoh seperti Tuanku Abdul Rahman Putera al-Haj, Tun Razak, Tun Husin Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan DS Mohd Najib yang akhirnya dipilih Tuhan sebagai Ketua Kerajaan atau Perdana Menteri melalui Pilihan Raya yang keputusannya ditentukan oleh rakyat atas kehendak-Nya jua.
18 Dalam tempoh itu anda juga dapat melihat seorang demi seorang individu pembangkang dijelmakan oleh Tuhan supaya kerajaan tidak bersifat lalai dan leka dan sekaligus menjadi ujian kepada rakyat.
19 Maka dizahirkan watak yang bernama Anwar dengan perwatakan dambaan Yahudi dan liberal Barat.Watak yang sama juga digerakkan Tuhan untuk memainkan peranan si warak semasa dalam ABIM, si catur semasa dalam UMNO dan si dalang semasa dalam PKR.
20 Semuanya yang terjadi bukan sia-sia tetapi untuk manusia melihatnya dan kemudian berfikir. Anda mungkin pernah menonton filem sebelum ini, tetapi kali ini anda dipersembahkan sebuah filem realiti yang dilakonkan oleh watak atau watak-watak yang benar-benar wujud dan dikenali.
21 Dalam wadah PAS sebagai contoh Allah zahirkan watak Nik Aziz yang sejak akhir-akhir ini sangat menimbulkan kebingungan di kalangan orang-orang Islam.
22 Apa yang dipakai olehnya di atas kepala sangat berbeza dengan apa yang keluar daripada mulutnya. Apa yang muncul daripada mulutnya hari ini tidak sama dengan apa yang pernah diucapkannya suatu ketika dahulu.
23 Pihak lawan masing-masing tentu tidak menggemari individu seperti ini tetapi di sisi Tuhan mereka dihadirkan di depan mata kita sebagai bahan untuk manusia berfikir dan membuat perbandingan. Agar manusia boleh melihat siapakah yang lebih baik antara mereka untuk diangkat sebagai pemimpin dan mengepalai negara dan ummah; dan siapa pula yang mempunyai hanya kekuatan lidah dan hujah yang lebih sesuai diberikan sebuah pentas.
24 Tuhan juga mahu memperlihatkan bagaimana si alim tertentu memainkan peranan lalang daripada seorang ulamak pondok yang membacakan kitab, kepada ulamak politik ketika dalam keadaan bersendirian dan menjadi pemimpin dan berjenama pula dalam Pakatan Pembangkang.
25 Tetapi pada masa yang sama untuk parti yang sama, anda juga diperlihatkan dengan watak seperti Ustaz Hadi Awang yang anda kenal itu yang sudah tentu boleh dibandingkan pula dengan beberapa watak yang dizahirkan sebelum beliau seperti Yusof Rawa, Dato’ Asri dan Ustaz Fadzil.
26 Malahan lebih awal dari itu dalam PAS telah dizahirkan dengan watak-watak berjiwa nasionalis seperti Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan lain-lainnya yang tidak memisahkan antara perjuangan agama dengan bangsa yang menganutinya seperti yang dilakukan oleh pemimpin PAS sekarang.
27 Begitulah Allah memberikan apa yang Dia mahu; tidak putus-putus untuk dijadikan iktibar oleh manusia; untuk memudahkan manusia membuat perbandingan siapakah antara mereka lebih benar dan lebih baik dalam amalannya; siapa yang lebih layak dan siapa pula yang hanya menjadi perosak. Tentulah kemahuan Allah mengatasi kemahuan makhluk.
28 Tetapi sebahagian kita mungkin tidak boleh menerima kebenaran ini. Pembahagian seperti itu bukan sahaja menunjukkan sifat kaya Allah, malah turut menyerlah kasih sayang-Nya.
29 Atas sifat rahim-Nya ke atas seseorang muslim, Dia sesungguhnya tidak pernah membiarkan manusia begitu sahaja, melainkan dengan memberikan sedikit ujian menurut kadar yang termampu dipikul olehnya.
30 Tentulah ujian yang dibebankan ke atas bahu Najib lebih besar daripada ujian yang dipikulkan kepada orang lain sejajar dengan skop peranan beliau yang lebih luas.
31 Allah benar-benar menjadikan semua ini di depan mata kita dan di tempat kita sendiri. Allah menterjemah sendiri ayat-ayat Maqruah iaitu kalam-Nya ke dalam bentuk yang manzurah atau yang boleh dilihat.
32 Alllah telah memberi peringatan kepada kita yang Dia tidak sekali-kali menjadikan apa yang dilihat itu sebagai barang permainan, tetapi mahu mengajak kita berfikir dengan serius. Tetapi manusia seperti selalu dengan keegoannya dan kecekapan akal nafsunya memberi alasan, tidak pernah mahu mengambil pelajaran daripada semua ini.
33 Tidakkah dalam tempoh yang singkat itu mereka melihat betapa rakusnya yang paling jahat di antara mereka mengumpulkan kekayaan untuk diri sendiri dan keluarga.
34 Sebahagiannya pula dengan alasan agama memutar-mutar lidah yang tidak bertulang dengan tidak habis-habis menabur fitnah dan melakukan pembohongan. Mereka jenis ini ada mata tetapi hanya mahu melihat yang buruk daripada lawan-lawan mereka untuk menjadi modal mulut-mulut mereka. Tetapi apa yang mereka angkat sebagai keburukan itu sebenanrnya masih samar-samar, tetapi yang samar-samar itulah yang menjadi kegemaran mereka.
35 Jika ada kebaikan yang berlaku pada lawan-lawan mereka, mereka cuba menyembunyikannya sebab itu tidak sedikit pun menguntungkan mereka.
36 Kebaikan yang dibuat oleh lawan-lawan mereka menjadi penyakit yang merosakkan hati mereka. Lebih banyak kebaikan yang kita buat, lebih berpenyakitlah hati mereka. Sebaliknya tidak jelas pula pada kita kebaikan apa yang mereka mampu tawarkan kepada kita, kecuali apa yang terungkap dari lidah-lidah mereka yang tidak bertulang dan dari sumber-sumber fitnah mereka yang lain.
37 Yang alim di antara mereka kadang-kadang menjadi musuh kepada orang awam. Yang awam di sekeliling mereka tidak belajar apa-apa daripada si alim kecuali mempersenda lawan-lawan mereka dengan kata-kata dan pandangan yang menjijikkan.
38 Antara mereka ada yanmg menggunakan landasan politik untuk menutup satu kebenaran dengan membangkitkan satu kenyataan yang diangkat sebagai kebenaran yang lain.
39 Yang awam di kalangan mereka pula begitu mudah teruja dengan kata-kata si alim yang memanipulasi mulut dan parti daripada si alim yang memang sudah jelas mahukan kebenaran yang nyata.
40 Hari ini kebenaran tidak lebih daripada sekadar buih-buih yang mengapung di permukaan air. Kebenaran yang begini boleh sahaja bertukar menjadi satu pembohongan yang nyata, dan pembohongan pula saling mengambil tempat kebenaran.
41 Antara kebenaran dan pembohongan itu saling mengambil tempat tergantung sejauh mana kedua-duanya dapat dijual dan mesra pada telinga penonton.
42 Tetulah yang paling keliru apabila situasi seperti ini terjadi ialah si awam yang dungu yang sentiasa berpaut pada jubah guru sedang mata mereka buta daripada melihat kebenaran.
43 Adakah kemenangan mereka yang sedikit itu menjadikan si awam bertambah ilmu mereka dan bertambah baik daripada sebelumnya. Atau bertambah kacau dan merapu?
44 Adakah jenayah, penyeludupan, pelacuran, seks bebas, rasuah dan penipuan semakin berkurangan dengan kemenangan mereka yang sedikit atau semakin menjadi-jadi dan merupakan suatu ancaman pula kepada negara?
45 Adakah rasa hormat bangsa lain kepada orang Melayu dan umat Islam semakin bertambah atau sebaliknya mereka semakin vokal menghina dan memandang rendah kepada umat Islam dengan kemenangan yang sedikit itu?
46 Adakah ajaran Islam menjadi bertambah jelas, atau lebih banyak kekeliruan dan kesamaran setelah kemenangan yang sedikit itu?
47 Adakah umat Islam menjadi semakin bersatu, kuat dan ukhuwah antara mereka menjadi semakin baik atau sebaliknya mereka semakin menaruh syak wasangka dan tidak percaya antara satu dengan yang lain?
48 Adakah surau dan masjid menjadi tempat yang paling aman, sejuk dan damai daripada sebelumnya atau surau dan masjid menjadi tempat yang paling panas dengan hamburan kata-kata kesat dan menyakitkan hati?
49 Adakah kata-kata berhemah dan baik sangka lebih banyak mengambil alih kata-kata kesat dan buruk sangka di sebalik kemenangan itu.
50 Adakah si alim menjadi bertambah zuhud dan tawadhuk atau berlaku sebaliknya dengan ujian kedudukan, pangkat, harta dan jawatan yang diperoleh daripada kemenangan yang sedikit itu.
51 Inilah antara ayat-ayat manzurah (tanda-tanda kebesaran Allah yang boleh dilihat dengan mata kasar) untuk dijadikan sempadan dan teladan bagi umat manusia yang mahu berfikir.
Hakcipta Abd Bashid Harun